Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buang BN, revolusi SPRM selamat
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 3:52 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

PAS berkata untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan 'revolusi' menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara, BN perlu "dibuang" terlebih dulu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keperluan itu timbul kerana semua usaha yang wajar dilakukan SPRM akan menjadi sukar selagi BN berkuasa.

Katanya ketika ini masyarakat masih keliru dengan tafsiran "hadiah" daripada pihak tertentu yang berkepentingan.

"Sumber kekeliruan rakyat terhadap rasuah adalah hasil daripada campurtangan kerajaan BN dalam SPRM selama ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh paling menonjol, kata Tuan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan boleh memberi sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat.

Dan katanya, perkara itu boleh dibuat tanpa sebarang akta yang mengawalnya.

Kenyataan itu kata Tuan Ibrahim dibuat najib ketika kemelut derma RM2.6 bilion serta dana RM42 juta dari syarikat SRC International Sdn Bhd yang berada dalam akaun persendirian Najib masih diperkatakan orang.

"Persoalannya, di mana garis (pemisah) antara suapan dan derma?" katanya.

Tuan Ibrahim membuat kenyataan itu bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Hasbillah Mohd Salleh di Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Kata Hasbillah satu revolusi perlu dilakukan untuk menjadikan gejala rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

BN batu penghalang

Menurutnya kebanyakan masyarakat masih keliru dengan tafsiran menerima hadiah daripada individu atau golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri.

"SPRM mahu mendidik masyarakat mengenai bahana rasuah mengikut peruntukan undang-undang.

"Perlakuan meminta atau menerima suapan, walaupun sedikit, akan merosakkan imej sendiri, " katanya dipetik Bernama.

Kata Tuan Ibrahim apakah sesuatu sumbangan pihak berkepentingan boleh dibenarkan asalkan ia diberi nama "derma".

Oleh itu katanya PAS mendesak SPRM turut menekan kerajaan untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Dengan akta itu kata Tuan Ibrahim ia dapat membantu SPRM mencapai revolusinya.

"Tapi selagi BN berkuasa, segala-galanya susah untuk SPRM bergerak bebas seperti yang sewajarnya.

"PAS akan menyokong usaha SPRM, tapi BN sebagai batu penghalang besar perlu dibuang dulu," katanya.

Lihat Komen
ADS