Bekas perdana menteri Estonia meletak jawatan sebagai naib presiden parlimen Estonia berikutan tuduhan serangan seksual yag berlaku di Malaysia.

Media Estonia semalam melaporkan beberapa kes serangan dari lisan hingga melibatkan sentuhan fizikal didakwa berlaku dalam sebuah bar di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bar berkenaan dikunjungi Roivas dan delegasi perdagangan seramai 37 anggota pada 21 September lalu.

Roivas memberitahu portal Estonia, err.ee hari ini bahawa dia akan meletak jawatan susulan tuduhan berkenaan.

"Saya tidak tahu sama ada ini sudah cukup untuk letak jawatan, tapi saya fikir ada orang yang terluka, jika ini bertukar menjadi skandal yang besar yang menjejaskan rakan-rakan saya, maka peletakan jawatan ini tidak menyakitkan. Saya lakukan ini demi orang lain.

"Anda harus bersedia menerima tanggungjawab politik apabila anda merasakan bahawa anda telah lakukan sesuatu yang bertentangan dengan etika orang ramai dan diri sendiri," kata Roivas kepada portal tersebut.

Beliau dalam temubual sebelumnya "mengakui bahawa sesuatu telah terjadi" tetapi menegaskan bahawa peristiwa pada malam kejadian yang dilapor media Estonia "jelas keterlaluan".

Err.ee sebelum ini melaporkan Roivas telah memohon maaf "secara peribadi dan atas nama semua delegasi" selepas seorang wanita di parti itu mendakwa dicium secara "agresif" oleh pelaku sebelum pakaiannya ditarik dan tubuhnya diraba.

Seorang "anggota delegasi" juga dikatakan telah menuangkan minuman ke atas seorang wanita di parti itu, sambil berkata "Saya ingin buat awak basah".

Manakala seorang lagi wanita ditolak ke kolam renang di bar berkenaan.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Roivas secara peribadi terlibat dalam insiden itu atau hanya melibatkan anggota delegasinya.

Semakan dengan polis Malaysia mendapati tidak ada laporan dibuat berhubung kejadian yang didakwa berlaku.

Roivas hari ini menyangkal serangan itu dan berkata dia menari terlalu dekat dengan salah seorang wanita yang hadir hingga membuatkan wanita berkenaan tidak berasa selesa.

"Dan walaupun saya tidak faham pada masa itu, walaupun saya fikir pada masa itu tarian itu tidak salah, tapi bagi wanita itu ia sudah melebih-lebih," kata Rõivas kepada portal berkenaan.