Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang juruterbang maut manakala pembantunya cedera apabila pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang mereka naiki terhempas di kawasan Sungai Mati, Muar, Johor pagi tadi.

Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamaruzaman Mohd Din berkata pesawat satu enjin itu berlepas daripada Aerodrome Sungai Rambai di Melaka yang terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Beliau berkata mayat juruterbang Yee Yoon Fah, 54, dihantar ke Hospital Tangkak manakala pembantunya Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang cedera di muka dan badan di hantar ke Hospital Muar.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11. 53 pagi daripada orang kampung dan sebanyak tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya kepada pemberita.

Pesawat itu didapati dalam keadaan terbalik di dalam sungai.

"Mangsa yang cedera ditemui berada di tebing sungai dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluar mangsa yang meninggal dunia, dari badan pesawat, " kata Kamaruzaman.

Sementara itu Pengerusi Aerodrome Sungai Rambai, Datuk Hassan Abd Rahman berkata beliau difahamkan bahawa kejadian berlaku ketika pesawat terbabit sedang melakukan ujian untuk mendapatkan permit penerbangan Jabatan Penerbangan Awam.

"Operasi pusat tersebut (Aerodrome Sungai Rambai) dihentikan segera sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.

Sementara itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau telah mengarahkan pihak terlibat untuk melakukan siasatan terperinci dan mengemukakan laporan mengenai kejadian tersebut.

"Kita nak tahu samada mereka telah mematuhi peraturan keselamatan sebelum memberi kebenaran kepada pesawat untuk berlepas. Kita nak tahu puncanya mungkin disebabkan kesilapan teknikal atau faktor lain seperti cuaca, komunikasi dan sebagainya.

"Apapun kita tunggu laporan dahulu. Kita yakin pihak polis dan DCA (Jabatan Penerbangan Awam) akan sediakan laporan terperinci mengenai kejadian ini," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS