Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar: Rakyat K'tan tak perlu bimbang Umno-PAS bersatu

Rakyat Kelantan tidak sepatutnya bimbang sekiranya Umno dan PAS bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebaliknya mereka terutama umat Islam dan orang Melayu di negeri itu perlu bimbang dengan ideologi anti-Islam yang dibawa DAP.

Beliau berkata, kedua-dua parti (Umno dan PAS) bersatu untuk membawa lebih banyak kemajuan di Kelantan.

"Kita (umat Islam) tidak perlu bimbang (jika) Umno dengan PAS bersatu, yang bimbang adalah DAP kerana tidak mahu Islam dan Melayu bersatu.

"Malah, Umno dan PAS adalah saudara Islam. Buat apa bergaduh. Contoh di Kelantan, negeri ini ketinggalan disebabkan kita (Melayu) saling bertelagah," katanya pada program Bicara Minda dan Dialog "Perjuangan For All" di Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu, malam tadi.

Forum tersebut turut menampilkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh sebelum ini turut mengusulkan agar partinya dan PAS "duduk semeja" bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

Beliau berkata, pertelagahan berterusan tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat khususnya di Kelantan dan disebabkan itu Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan.

"Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya tiada apa-apa masalah," katanya seperti dilaporkan Bernama 9 Oktober lalu.

Sementara itu Annuar berkata, negeri Kelantan hilang kekuatan dalam aspek pembangunan kerana terlalu banyak berlaku pertelingkahan.

Sedangkan katanya, Kelantan negeri istimewa yang mempunyai potensi tinggi dalam pelbagai bidang.

"Jadi mari kita berhenti bergaduh, henti bertelingkah. Kita pakat majukan negeri Kelantan.

"Apa salahnya kalau kita berbaik, tidak ada ruginya," tegas Annuar.

Lihat Komen
ADS