Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiap kali diajukan soalan berkaitan kerjasama Umno dengan PAS, parti Islam itu pasti akan menafikannya.

Kali ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan mengenai kerjasama itu.

Malah pemimpin veteran PAS itu menyifatkan apa yang dinyatakan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa bahawa akan ada lebih banyak kerjasama antara kedua parti itu hanyalah 'angan-angan Umno'.

“Kalau Annuar kata hendak ada kerjasama, setakat ini PAS tidak pernah bincang kerjasama dengan Umno dalam bidang politik.

“Tidak juga bincang mengenai pengagihan kerusi di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu.

“Mungkin angan-angan mereka (Umno),” tegas Mahfodz Mahfodz sewaktu ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

'Usul Pas-Umno duduk semeja'

Annuar dalam program Bicara Minda dan Dialog 'Perjuangan For All' di Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu, malam tadi mengusulkan agar partinya dan PAS 'duduk semeja' bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

“Kerjasama dalam hal berkaitan Islam dan umat Islam memang ada seperti isu Palestin dan lain-lain. Tapi, yang dimaksudkan dengan kerjasama politik memang tidak ada.

Annuar berkata, pertelagahan berterusan tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat khususnya di Kelantan dan disebabkan itu Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata kerjasama antara PAS dengan Umno tidak akan berlaku kerana hanya sebelah pihak sahaja yang bersungguh dalam perkara tersebut.

Bahkan, Mahfodz berkata PAS maklum akar umbi parti Islam itu masih serik dengan apa yang dilakukan Umno sebelum ini.

“Setakat ini, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kita kena jaga akar umbi kita memang dah mereka serik.

“Kalau berlaku lagi, nauzubillah. Bila kita kuat mereka mahukan kita, tetapi bila kita tidak kuat mereka tendang kita,” tegas Mahfodz.
 

Lihat Komen
ADS