'Tunjuk undang-undang mana kata salah?'
Salahkah jika pengusaha dobi meletakkan tanda 'untuk orang Islam sahaja' di premis mereka?
Jawapannya tidak bagi bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
"Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah berjumpa satu peruntukan undang-undang di Malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah di sisi undang-undang.
"Tolong tunjuk kepada saya jika ada," katanya dalam satu tulisan yang disiarkan oleh laman Ismaweb hari ini.
Menurut Abdul Hamid, pengusaha dobi adalah seorang individu dan peruntukan perlembagaan mengenai kesamarataan (Perkara 8) hanya terpakai kepada kerajaan.
Beliau memetik Klausa (1) Perkara 8 yang mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata.
Manakala Klausa (2) pula melarang adanya diskriminasi, antara lain, atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan dalam sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perkara yang tersebut dalam klausa itu.
"Perhatikan bahawa semua larangan itu tidak berkenaan dengan seorang individu," kata Abdul Hamid.
Isu mengenai dobi mesra Muslim di Batu Pahat mencetuskan perbalahan sejak tiga minggu lalu apabila gambar mengenainya tersebar di media sosial.
Kedai berkenaan pada awalnya dilapor hanya membenarkan pelanggan Islam sahaja menggunakan mesin pencuci di premis berkenaan.
Dasar itu sebelumnya disambut baik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang berkata ia tidak sepatutnya menimbulkan tanggapan buruk di kalangan orang bukan Islam.
Namun perkara itu dibantah oleh Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkannya sebagai amalan sempit dan hukum fikah sepatutnya memudahkan kehidupan umat Islam.
Isu itu akhirnya mengundang campur tangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang bertitah agar konsep perniagaan itu diubah atau baginda sendiri akan bertindak.
Pengusaha terbabit kemudian memohon maaf dan dilaporkan telah menurunkan papan tanda ‘Mesra Muslim’ di premisnya.
Tak perlu beri sebab
Bagaimanapun Abdul Hamid, berkata pengusaha dobi adalah seorang ahli perniagaan dan dia boleh memilih untuk berniaga dengan sesiapa sahaja tanpa menyatakan sebabnya.
"Dia tidak perlu memberi apa-apa sebab kepada sesiapa," katanya.
Menurutnya, sebagai seorang peniaga, pemilik dobi itu tentu mahukan perniagaannya maju dan boleh menarik seberapa ramai pelanggan ke kedainya.
"Jika, sebagai seorang pengusaha laundret, dia dapati perniagaannya lebih maju jika ia dibuka kepada orang Islam sahaja, terserahlah kepadanya untuk membuka kedainya kepada orang Islam sahaja.
"Jika kebanyakan bakal pelanggannya orang Islam dan mereka tidak akan datang ke kedainya jika mesin yang sama digunakan untuk mencuci basuhan orang bukan Islam biar apa pun sebabnya, apa salahnya jika dia meletakkan tanda itu?" katanya.
Jijik, kotor, geli
Abdul Hamid berkata, pengusaha dobi juga tidak boleh disalahkan jika pelanggan atau bakal pelanggannya tidak suka mesin yang sama digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencuci basuhan mereka.
"Kita juga tidak boleh menyalahkan pelanggan atau bakal pelanggan pekedai itu jika mereka tidak mahu pergi ke kedai itu jika hal seperti itu berlaku.
"Mungkin mereka merasa jijik, kotor atau geli memikirkan seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak membasuh najis kencing, berak dan haidnya.
"Atau tuala yang mungkin digunakan untuk mengeringkan bulu anjing juga dimasukkan untuk dicuci dengan mesin yang sama walaupun secara berasingan," kata Abdul Hamid.
Sebelum ini isu kebersihan masyarakat bukan Islam itu turut dibangkitkan bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin.
Pendapat itu bagaimanapun dikritik penceramah popular Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang menolak tanggapan bahawa kaum Cina tidak bersih.
“Memang secara fizikal majoriti orang Cina kencing berak tidak menggunakan air.
"Mereka menggunakan tisu. Tetapi mengatakan secara umum, Cina tidak bersih, saya tidak setuju.
“Secara umum, masyarakat Cina sudah terkenal sifat pembersih, walaupun mereka tidak berpegang kepada hadis, kebersihan itu sebahagian daripada iman," kata Riduan.

