Sempena Deepavali, 15 barang kawalan harga di Labuan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Labuan telah menyenaraikan 15 barang di bawah Skim Kawalan Harga sempena Deepavali.yang akan disambut pada Rabu.
Pengarah KPDNKK Labuan Arun Fazhillah Hamdan berkata skim itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selama sepuluh hari iaitu lima hari sebelum perayaan itu dari 13 hingga 22 Oktober 2017 ini.
Beliau berkata barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil dari India, bawang besar import, kacang dhal dari Australia dan ubi kentang dari China.
Arun berkata peniaga mesti menjual barangan itu tidak melebihi daripada harga maksimum yang ditetapkan dan menggunakan tag harga berwarna merah jambu bagi barangan tersebut.
"Tag harga harus jelas, mudah dibaca, menggunakan unit pengukuran atau berat yang ditetapkan dan memaparkan harga yang betul, dan tidak mengelirukan," kata beliau.
Beliau berkata aduan terhadap peniaga yang tidak mematuhi undang-undang mengenai skim itu boleh disalurkan kepada Kementerian melalui talian bebas tol 1800-886-800 atau di mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.
-Bernama

