Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kira-kira 50 peratus daripada 956 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara sejak bulan lalu, didapati tidak selamat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata semua pusat tahfiz berkenaan perlu segera mengambil langkah melengkapkan ciri keselamatan sebelum diarahkan menghentikan operasi.

Beliau berkata, pengendali pusat tahfiz perlu mengambil serius bagi supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama risiko kebakaran.

"Antaranya, perlu menyediakan laluan keluar dan selamat jika berlaku kebakaran," katanya dipetik daripada Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi JBPM 2017 di pusat membeli-belah Berjaya Megamall, semalam.

Wan Mohd Nor berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas untuk memastikan pengendali pusat tahfiz mengikut peraturan.

Beliau berkata, bomba akan mengeluarkan notis perundangan (perintah mematuhi peraturan) kepada pengendali pusat tahfiz yang gagal mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan penghuninya.

"Kesalahan paling banyak dikesan ialah tidak mempunyai peralatan kebakaran dan hasil pemeriksaan sebanyak 291 notis telah dikeluarkan sehingga 13 Oktober.

"Selain itu antara kesalahan lain yang turut perlu diambil perhatian oleh pihak terbabit ialah menyediakan laluan keluar yang mencukupi dan boleh keluar dengan selamat jika berlaku kebakaran," katanya.

Pada awal pagi 14 Sept lalu, seramai 23 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung terkorban.

Tragedi itu adalah yang kedua terburuk, selepas kebakaran di asrama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.