'Kami hormat kebebasan bersuara, tapi tak memihak'
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menegaskan beliau tidak terlibat dalam Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" anjuran Pakatan Harapan, kelmarin.
Dalam posting di Facebook, Zulkifli menjelaskan beliau masih berada dalam penerbangan dari Labuan, Sabah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ketika program itu dijalankan.
"Kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan kami sama ada atas kapasiti peribadi atau jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam program ini (Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi).
"Kami menghormati hak kebebasan bersuara di Malaysia, namun berpendirian untuk kekal tidak memihak kepada mana-mana parti politik atas kapasiti mufti Wilayah Persekutuan.
"Justeru, tindakan membuat poster ini dan menyebarkannya tanpa usul periksa adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau membuat kenyataan demikian berikutan kiriman poster pengguna media sosial yang bertanyakan mengenai penglibatan beliau dalam program tersebut.
"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati dan menyelidik hal yang belum dipastikan lagi.
"Media sosial hendaklah dimanfaatkan dengan baik dan sewajarnya untuk tujuan yang bermanfaat," katanya.
Sabtu lepas berlangsungnya Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia biasa.
Program di Padang Timur, Petaling Jaya itu merupakan acara kemuncak selepas siri jelajah tiga bulan.

