Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Cox's Bazar Isnin untuk program lawatan ke kem pelarian Rohingya.

Ahmad Zahid yang diiringi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot tiba di Lapangan Terbang Cox's Bazar pada pukul 9.10 pagi waktu tempatan (11.10 pagi waktu Malaysia).

Beliau dijadual melawat Kem Kutupalong, kira-kira 35 km dari Cox's Bazar diikuti lawatan ke tapak projek Mycorps, satu projek sukarelawan melibatkan belia Malaysia.

Lawatan di Cox's Bazar bagi menilai situasi pelarian etnik Rohingya dari wilayah Rakhine, Myanmar di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Ia sekali gus mencerminkan kebimbangan dan keseriusan Malaysia berhubung isu pelarian Rohingya secara amnya.

-Bernama