Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Himpunan gagal sebab HARAPAN berbaju merah - Jamal

Kegagalan “Himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal mencapai sasaran 100,000 peserta kerana seolah-olah cuba meniru identiti Umno.

Ketua Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata pembangkang gagal mengekalkan identiti mereka yang sering berpakaian kuning setiap kali berhimpun tetapi mengenakan baju berwarna merah yang sinonim dengan himpunan anjuran Umno.

“Kegagalan mereka bukan kerana PAS dan sebagainya tapi imej yang mereka bawa itu ke arah Umno dan imej yang mereka bawa macam baju merah.

“Penyokong HARAPAN ini sebati dengan baju kuning, bila penganjur tukar baju merah (penyokong kata) ini himpunan Jamal Yunus jadi mereka tak nak pakai.

“Jadi pakailah warna kuning jangan nak ciplak saya punya baju ada bendera Malaysia. Saya puji Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah kerana ketegasan beliau, walaupun orang lain pakai baju warna merah, dia tetap pakai baju bersih. Itulah yang penyokong mereka harapkan,” katanya.

Jamal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang Kuala Lumpur hari ini.

Sabtu lalu Himpunan Anti-Kleptorkrasi didakwa gagal kerana sambutan hambar daripada penyokong pembangkang. Himpunan itu mensasarkan 100,000 peserta tetapi jumlah yang hadir di Padang Timur, Petaling Jaya adalah tidak lebih 10,000 oarang.

Mengulas lanjut Jamal menyindir pembangkang yang mengadakan himpunan sekali lagi untuk mencuba nasib menarik kehadiran yang lebih ramai.

"Mereka boleh cuba sekali lagi, cuba dua, tiga kali lagi tapi jangan tukar identiti dan jangan ciplak baju saya," katanya dengan nada sinis.

Jamal turut menawarkan diri untuk menjadi perunding kepada program itu pada masa depan.

Bagi tujuan itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk penyewaan peralatan dan kelengkapan majlis berbanding RM450,000 yang dibayar HARAPAN kepada kontraktor yang dilantik.

“Kalau Mat Sabu bayar RM450,000 kepada kontraktor majlis semalam, saya bagi separuh harga daripada harga tersebut termasuk saya sendiri akan menjadi pakar perunding.

“Orang ramai dapat melihat persembahan yang baik, kelengkapan bagus, pencahayaan cukup baik dan skrin LED disusun keliling padang. Ini kerana saya mempunyai peralatan-peralatan canggih,” katanya.

Lihat Komen
ADS