Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker masjid S'gor kini untuk azan, al-Quran saja
Diterbitkan:  Oct 16, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua masjid dan surau di negeri itu mengehadkan penggunaan pembesar untuk kegunaan dalam bangunan sahaja.

Kenyataan baginda yang dikeluarkan melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, berkata Sultan Selangor turut menitahkan penggunaan pembesar suara hanya untuk laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sahaja.

"Penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh negeri Selangor adalah dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja dan tidak di luar kawasan masjid dan surau kecuali laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran," kata Hanafisah.



Langkah itu diumumkan bersama penarikan balik tauliah mengajar agama penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin yang terpalit dakwaan mengkritik sultan Johor baru-baru ini.

Zamihan antaranya dilapor mempertikai pendirian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu dobi eksklusif untuk umat Islam sahaja di Muar.

Menyalahkan media, beliau bagaimanapun berkata tidak menyebut nama baginda tetapi sedia mengadap dan memohon maaf jika baginda terasa hati.

Pelihara imej Islam

Sementara itu, Hanafisah berkata, larangan titah Sultan Sharafuddin itu bertujuan memelihara imej Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

"Raja-raja Melayu berpendirian bahawa imej Islam sebagai agama Persekutuan adalah agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif serta wajib mempertahankannya dari dicemari oleh tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat," kata Hanafisah.

Sultan Selangor juga bertitah bahawa rakyat di negeri untuk menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan dan keamanan negara.

Lihat Komen
ADS