Guan Eng: Pelan Tindakan India Malaysia hanya bermakna jika...
Adalah tidak berguna untuk bercakap mengenai Rangka Tindakan India Malaysia (MIB) sedangkan kad pengenalan tidak boleh dikeluarkan kepada masyarakat India tanpa warga negara, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam satu kenyataan, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata bahawa hanya melalui pembaharuan "bermakna" seperti kelulusan untuk sekolah menengah Tamil, kursus universiti tertentu untuk pelajar India dan penubuhan lembaga wakaf Hindu di setiap negeri untuk menjaga kuil, barulah masyarakat India akan mempercayai bahawa MIB bukan sekadar gimik pilihan raya BN.

"Tidak ada sebab mengapa Kementerian Pendidikan enggan membenarkan sekolah menengah Tamil sedangkan terdapat sekolah menengah yang menggunakan bahasa Arab, bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai bahasa pengantar.
"Kerajaan persekutuan hanya perlu membina sekolah kerana kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia menawarkan tanah secara percuma," katanya dalam satu kenyataan sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada Rabu ini.
Menurut Lim, kejayaan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang harus dicontohi di setiap negeri di seluruh Semenanjung Malaysia,
Mengenai tawaran 700 tempat tambahan di institusi pengajian tinggi awam, yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada pelajar India, Lim berkata ini hanya menjadi "hadiah" Deepavali jika kursus yang ditawarkan membabitkan kursus seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, undang-undang dan pergigian.
MIB disebut-sebut sebagai dokumen induk kerajaan persekutuan yang pertama untuk menangani keperluan dan masalah membabitkan masyarakat India.

