IGP: Militan Malaysia Mahmud Ahmad masih hidup
Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun hari ini mengesahkan bahawa rakyat Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang menyertai kumpulan pengganas IS di selatan Filipina masih hidup.
Beliau dipetik oleh portal Berita Harian Online sebagai berkata, maklumat mengenai bekas pensyarah Akademi Pengajuan Islam, Universiti Malaya itu adalah berdasarkan laporan perisikan di Marawi daripada Kementerian Pertahanan Filipina.
"Kami sentiasa berhubung dan bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa di negara berkenaan dalam usaha memerangi aktiviti kumpulan pengganas IS," katanya.
Menurut Fuzi, Mahmud dan seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Mohd Amin Baco dipercayai berada di Marawi, iaitu kawasan yang dikuasai Ispilon Hapilon.
Portal itu tutut melaporkan, dua pemimpin kumpulan militan IS iaitu Ispilon Hapilon dan Omar Maute dipercayai antara yang terbunuh dalam serangan oleh pihak berkuasa Filipina susulan serangan sejak 23 Mei lalu.
Kementerian Pertahanan Filipina, mengesahkan kematian Ispilion dan Maute hari ini, namun masih belum mengeluarkan butiran terperinci berhubung serangan yang menyebabkan kedua-dua mereka terkorban.
Kedua-dua mereka sebelum ini adalah ketua kepada kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan Maute, yang mula bergabung sejak pertengahan tahun ini bagi memperkuatkan kumpulan militan IS khususnya di selatan Filipina.

