Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas Sultan bertindak, MCA gesa pihak berkuasa jadi proaktif
Diterbitkan:  Oct 16, 2017 10:11 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

MCA memuji Raja-raja Melayu dalam mengekang ketaksuban dan mengekalkan keharmonian serta berharap pihak berkuasa turut bertindak proaktif yang sama.

"MCA berasa gembira dengan sistem semak dan imbang yang kukuh dan berterima kasih atas peranan Raja-raja Melayu atas keberanian, kebijaksanaan dan berpandangan jauh.

"Inilah Malaysia yang kami mahukan sebagai rumah kami - sebuah negara yang toleran dan inklusif untuk semua bangsa dan agama.

"Kami berharap tindakan-tindakan yang lebih proaktif dan positif diambil pihak berkuasa bagi mengekang ancaman yang semakin berkembang kepada keamanan dan keharmonian negara," kata pengerusi biro keharmonian agama MCA Ti Ti Lian Ker.

Ti juga mendakwa negara ini berhadapan dengan 'ancaman Talibanisasi yang semakin meluas'.

Majlis Raja-raja Melayu

Ti memuji perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan sijil tauliah dakwah Zamihan Mat Zin ditarik balik selepas ceramah beliau yang menyebut orang Cina sebagai 'tidak suci' dan mengkritik pendirian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menentang dobi mesra Muslim sahaja itu.

Beliau juga memuji kenyataan Majlis Raja-raja Melayu yang mengkritik 'tindakan melampau' oleh sesetangah individu dan kumpulan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Raja-raja Melayu maklum bahawa perkara sedemikian dilakukan atas nama Islam walaupun agama itu menekankan tentang hormat-menghormati, kesederhanaan dan sifat inklusif.

Ti berkata terdapat pihak yang ingkar dengan institusi raja.

"Mengecewakan sekarang terdapat kumpulan dan individu yang mula menunjukkan tanda keingkaran dan tidak hormat terhadap institusi raja yang mana menjadi tugas berperlembagaan antara lainnya, untuk melindungi nama baik agama persekutuan," kata beliau.

Ti berkata tren berbahaya ini perlu dihentikan.

"Sultan-sultan berada di sana untuk mengingatkan kita, supaya berhati-hati serta hormat kepada amalan, norma dan juga mengekalkan keharmonian dan rasa hormat terhadap perlembagaan kita," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Lihat Komen
ADS