Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zamihan akur titah Sultan Selangor
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 10:56 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin akur titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tauliah mengajar agama beliau di negeri itu ditarik balik.

"Sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, saya akur dan patuh kepada keputusan dan titah tuanku sultan.

"Begitu juga saya sekali lagi merafak sembah memohon maaf terhadap tuanku sultan, sekiranya baginda terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jamaah tempoh hari," kata Zamihan pada kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Zamihan dilapor mempertikai pendirian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu dobi eksklusif untuk umat Islam di Muar.

Susulan itu beliau direman selama dua hari berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di sebuah masjid di Shah Alam, Ahad lepas.

Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar daripada penceramah kontroversi itu.

Menurut kenyataan melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, baginda memperkenankan tindakan itu melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Tindakan ini adalah lanjutan daripada satu ceramah agama yang disampaikan oleh Zamihan bin Mat Zin yang mengandungi perkataan-perkataan bersifat rasis, kurang beradap dan kritikan melampau terhadap institusi diraja," kata kenyataan tersebut.

'Hentikan adu domba'

Menurut Zamihan, beliau menghormati keputusan Sultan Selangor dan baginda berhak membuat keputusan sebagai seorang ketua agama.

"Saya hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat saya dirasakan sudah tidak diperlukan, saya menghormati keputusan tersebut. Bagaimanapun saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai.

"Sesungguhnya kebenaran dan perjuangan dakwah Islam tidak pernah terhenti sehingga hari kiamat," katanya.

Dalam pada itu Zamihan menyeru semua pihak menghentikan adu domba sesama umat Islam.

Sebaliknya kata beliau adalah lebih baik usaha ditumpukan untuk menolak ancaman fahaman yang cuba merosakkan Islam seperti Wahabi, Syiah, liberalisme dan lain-lain ajaran yang disifatkan sebagai sesat.

"Mereka sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran dan berpecah sesama sendiri.

Lihat Komen
ADS