Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek LNG RM160 juta di Perak dijangka siap 2019

Kerajaan negeri Perak menjangkakan pembinaan jaringan paip gas asli cecair (LNG) sejauh 140 kilometer dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta yang bernilai RM160 juta siap sepenuhnya menjelang 2019.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata projek LNG itu bakal membawa perubahan bagi pembangunan industri di Lembah Kinta serta memberi manfaat kepada kira-kira 53 industri sedia ada di kawasan sekitar.

"Penyiapan projek itu akan dibuat mengikut fasa mulai daripada suku keempat 2018 sehingga ke suku ketiga 2019.

"Pembinaan paip LNG ini dilihat sebagai satu perkembangan yang amat positif untuk negeri serta industri-industri yang ada di dalamnya menjadikannya lebih kompetitif serta berdaya saing," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Ke-49 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM), di Ipoh, malam tadi.

Zambry berkata kerajaan negeri melabur sejumlah RM10 juta bagi projek LNG tersebut manakala Kerajaan Persekutuan sebanyak RM50 juta dan selebihnya daripada Malaysia Gas Berhad.

Menurutnya, projek itu membuktikan kerajaan negeri amat komited dalam menjadikan Perak sebagai antara hab pelaburan terbesar di Malaysia.

“Kita amat alu-alukan projek ini kerana secara tidak langsung ia akan memberi keuntungan kepada banyak pihak di mana ia mengurangkan kos operasi melibatkan pelbagai industri,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS