Pergerakan Puteri Umno Melaka digesa memberi fokus terhadap usaha mengesan pemilih wanita muda yang berpotensi menjadi anggota baru pergerakan sayap itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata usaha tersebut perlu dilaksana secara efektif melalui perjuangan isu atau masalah yang dihadapi golongan sasar itu yang berusia 35 tahun ke bawah.

“Setakat ini kita mengenal pasti kira-kira 65,000 pengundi wanita muda di Melaka dan daripada jumlah itu saya yakin sebahagian besar daripadanya merupakan bakal pemilih bagi Puteri.

“Justeru semua anggota Puteri pada setiap peringkat perlu bekerja keras dan turun padang untuk mengesan dan mengenal pasti DNA kumpulan pemilih wanita muda ini," katanya kepada pemberita selepas program Perjumpaan Ahli-Ahli Pergerakan Puteri Umno Melaka malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Ketua Puteri Umno Zahida Zarikh Khan.

-Bernama