Serangan korbankan rakyat M'sia tiada kaitan insiden Tak Bai
Serangan ke atas pusat pemeriksaan polis di Tak Bai dua hari lepas yang mengorbankan seorang lelaki rakyat Malaysia berlaku hampir dua minggu sebelum ulang tahun satu daripada insiden berdarah paling dahsyat di selatan Thailand, yang masih membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan.
Insiden Tak Bai yang mengorbankan nyawa 86 lelaki tempatan berlaku pada 25 Okt, 13 tahun lepas dan sungguhpun lebih sedekad peristiwa itu berlalu, ia terus menjadi isu paling kontroversi di kalangan penduduk di wilayah selatan.
Meskipun banyak pihak mendakwa serangan pada Ahad malam itu yang mengorbankan nyawa Wan Mohd Zain W.Hussin , 46, tukang masak dari Kelantan, merupakan sebahagian daripada rancangan besar kumpulan militan untuk meningkatkan serangan balas sehinggalah pada sambutan ulang tahun itu, Tentera Wilayah Keempat Thailand menolak tanggapan ini.
Menurut pegawai pemerintahnya, Lt Jen Piyawat Nakwanich, serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan ulang tahun insiden Tak Bai, sebaliknya berkemungkinan besar cubaan daripada militan untuk memberi amaran kepada pihak berkuasa dan penduduk tempatan tentang keupayaan mereka yang belum berkurangan untuk mewujudkan keganasan.
“Ia mungkin dilakukan oleh seseorang yang mahu menunjukkan mereka masih mengerah potensi untuk menimbulkan keganasan dan menyemai kebimbangan pada penduduk tempatan, menakut-nakutkan mereka (penduduk tempatan) daripada memberi sebarang kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Beliau berkata empat lelaki tidak dikenali yang membawa senjata api menaiki sebuah trak pikap dan melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah pusat pemeriksaan itu, mungkin hanya mahu menyasarkan anggota keselamatan yang bertugas di situ.
Pasukan keselamatan menjumpai lebih 50 kelongsong peluru di tempat kejadian semasa melakukan siasatan.
Allahyarham Wan Mohd Zain, yang sering berkunjung ke selatan Thailand oleh kerana dia mempunyai saudara mara di Narathiwat, mungkin tidak bernasib baik disebabkan dia berada di tempat serta waktu yang salah dan terkena peluru semasa singgah di beberapa pusat pemeriksaan di Narathiwat.
Mayat bapa tunggal itu dituntut keluarganya dan dihantar pulang ke Kampung Ketil di Kelantan untuk dikebumikan.
Di sebalik insiden terkini itu, keadaan keselamatan keseluruhan di selatan Thailand yang berada di bawah tanggungjawab Tentera Wilayah Keempat, kata Piyawat, semakin bertambah baik dengan lebih ramai penduduk tempatan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sambil ekonomi tempatan turut berkembang maju.
"Saya menyaksikan sendiri penduduk tempatan meningkatkan kerjasama kepada pihak berkuasa dan kita juga boleh lihat pelbagai perniagaan muncul nun jauh di selatan (selatan Thailand) misalnya stesen minyak, bilik pameran kereta, restoran dan kedai lain di sepanjang jalan raya serta pantai,” katanya.
Kerajaan, menurut beliau, melaksanakan inisiatif ekonomi sebagai satu lagi langkah untuk menyelesaikan konflik di wilayah ini dan hasilnya amat menggalakkan dengan keadaan keselamatan bertambaik baik manakala ekonomi penduduk tempatan pula mula berkembang maju.
Sementara itu, penyiasat percaya serangan ke atas pusat pemeriksaan Tak Bai dua hari lepas dilakukan oleh kumpulan diketuai seorang bernama "Famee Mudo" yang bergerak aktif di daerah ini dan kawasan sekitarnya.
Ketua Polis Tak Bai Kol Phacaraphon Na Nakhon berkata Famee juga bertanggungjawab bagi serangan di satu lagi pusat pemeriksaan di daerah ini kira-kira lima tahun lepas dan menjadikannya suspek utama dalam insiden keganasan terbaharu.
Penyiasat, menurut media tempatan, turut memeriksa lokasi tempat sebutir bom buatan sendiri 25kg diledakkan tidak lama selepas serangan ke atas pusat pemeriksaan Tak Bai, yang mereka percaya disasarkan kepada sebuah konvoi yang membawa ketua polis.
Serangan bom itu gagal mengenai sasaran tetapi ketua polis itu terpaksa menangguhkan perjalanannya.
-Bernama

