GLOBAL | Baru hari kedua menduduki jawatan sebagai naib gabenor Jakarta Sandiaga Salahuddin Uno sudah mula menarik perhatian dengan cara tersendiri.

Hari ini dia tiba di tempat kerjanya, Balai Kota Jakarta, menaiki kenderaan peribadi ketuanya, Anies Baswedan, Toyota Innova hitam dengan nombor pendaftaran B 2507 BKU.

Bukannya tidak ada kenderaan rasmi disediakan cuma Sandiaga berkata dia lebih selesa menaiki kenderaan biasa untuk ke tempat kerja.

Sebagai naib gabenor Sandiaga disediakan kereta Lexus dengan nombor pendaftaran B 2 DKI. Ia adalah model keluaran 2009 dan pernah digunakan bekas gabenor ke-15 Jakarta, Fauzi Bowo.

Kata Sandiaga tindakan dia bersama Anies menggunakan kenderaan peribadi itu untuk menegaskan bahawa kereta cuma perlu dijadikan sebagai alat pengangkutan, bukan membentuk imej di kalangan masyarakat.

"Misalnya melalui kenderaan seseorang dilihat tinggi atau elit," katanya.

Justeru kata ahli perniagaan dan bekas model majalah remaja itu dia juga tidak keberatan untuk menunggang motosikal jika keadaan memerlukan.

"Kalau ada majlis yang memerlukan kami menggunakan kendaraan rasmi, kami gunalah.

"Kami hari ini santai, dan ia juga lebih jimat.

"Kalau misalnya lalu-lintas sesak, ya, pindah. Guna yang sesuai dengan keperluan saja," katanya.

Sandiaga, 48, memenangi pilihan raya gabenor Jakarta bersama regunya, Anies, pada pertengahan April lalu mengalahkan gandingan Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - dan Djarot Saiful Hidayat.

Anies - juga berusia 48 tahun - ialah bekas aktivis mahasiswa dan pernah dilantik menjadi menteri Joko Widodo sebelum diketepikan melalui rombakan kabinet.

Sandi termasuk dalam senarai 40 orang terkaya Indonesia oleh majalah Forbes pada 2009.

Menurut majalah berpengaruh itu kekayaan Sandi ketika itu bernilai AS$400 juta dan berada di kedudukan ke-29.

Kedua-dua mereka memulakan tugas secara rasmi semalam.