Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menanti selama 17 tahun, anak jati Pahang yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M Kayveas, berkata beliau kini bersedia untuk berkhidmat di negeri kelahirannya.

Tokoh berusia 63 tahun itu mendakwa pada tahun 2000, Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berjanji untuk memberikan kerusi parlimen Cameron Highland kepadanya.

"Sekiranya kamu tahu asal-usul kerusi Cameron Highlands, kamu akan menyedari kerusi itu harus kembali ke MyPPP.

"Perdana Menteri pada masa itu meminta saya bekerja di Cameron Highlands pada tahun 2000, jadi saya pun berkhidmat di kawasan itu sejak itu.

"(Sekarang) saya rasa masih perlu untuk saya kembali ke Cameron Highlands daripada minta kerusi orang lain. Saya masih anggap Cameron Highlands pada asalnya milik MyPPP dan ia telah diambil dan dimanipulasi MIC," katanya semasa diwawancara Malaysiakini.

Semasa pilihan raya umum (PRU) ke-11 yang diadakan pada 2004, Kayveas berkata beliau telah bersedia untuk bertanding di kerusi parlimen Cameron Highlands di bawah bendera BN.

Namun, katanya, tiba-tiba dia dihantar untuk bertanding di Taiping akibat "manipulasi oleh MIC".

“Ia bukanlah langkah yang betul untuk saya. Saya patut jauhi (bertanding di Taiping) tapi (melakukannya) demi parti,” katanya.

Ketika itu Kayveas memenangi kerusi Taping dengan 20,129 undi manakala pencabarnya dari DAP memperoleh 17,957 undi dan PKR (4,371). Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,172 undi.

MIC yang meletakkan Devamany Krishnasamy di Cameron Highlands turut memenangi kerusi berkenaan.

Pada PRU ke-12 empat tahun kemudian, Kayveas sekali lagi diarahkan mempertahankan kerusinya manakala MIC kekal diberi kepercayaan di Cameron Highlands.

Bagaimanapun Kayveas kalah kepada calon DAP, Nga Kor Ming, dengan majoriti 11,298 undi. Kayveas memperoleh 16,800 berbanding Nga 28,098 undi.

Namun ketika PRU ke-13, Kayveas berkata beliau telah meminta kerusi Cameron Highlands daripada MIC dan presiden parti berkenaan ketika itu, Datuk Seri G Palanivel, bersetuju memberikan kawasan tersebut kepadanya.

“Tapi, pada saat-saat akhir Palanivel membuat keputusan yang dia akan menjadi calon BN di Cameron Highlands. Kami diminta untuk berbincang dan membuat keputusan bersama.

“Saya kata: OK, kalau kamu nak kerusi ini, saya akan tunggu pada PRU ke-14. Kami ada persefahaman dan daripada persefahaman itulah saya tidak bertanding di kerusi itu pada PRU ke-13,” katanya.

Baru-baru ini Kayveas mengumumkan akan bertanding di Cameron Highlands pada PRU ke-14 namun ketika itu tidak dapat dipastikan beliau akan mewakili siapa jika masih tidak dicalonkan BN.

Tetap satu pasukan

Kayveas ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, beliau akan bertanding menggunakan logo BN walau apapun yang berlaku.

Katanya kini kerusi Cameron Highlands menjadi kerusi bebas apabila Palanivel digulingkan daripada MIC pada 2015.

“Itu yang saya maksudkan, kerusi itu sekarang jadi kerusi bebas. Sebagai kerusi bebas, sesiapa pun boleh bertanding,

“Saya tak ada niat bertanding sebagai calon bebas, kalau kamu seorang yang setia, kamu akan setia dengan parti.

“Saya tak kata BN parti yang sempurna, tapi kalau kamu jelas dengan satu pasukan, kamu kena kekal dengan mereka, kamu tidak boleh susahkan mereka," katanya.

Kayveas berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN mengenai hasratnya untuk bertanding di Cameron Highlands.

Selain itu bagi menunjukkan komitmen untuk bertanding di kawasan berkenaan, beliau sedang memfokuskan usaha ke arah itu malah program pertama yang dilakukan adalah merayakan Ponggal pada 2015.

Manakala MIC pula hanya menugaskan pegawainya untuk melihat kawasan itu beberapa bulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan beliau yakin akan dipilih menjadi calon bagi kerusi Cameron Highlands pada PRU akan datang yang dijangka bakal diadakan awal tahun depan.

“Saya sangat positif pengerusi BN akan buat keputusan dengan adil. Saya tak ragu-ragu pada Najib dan dia akan buat keputusan tepat.

“Saya yakin beliau (Najib) akan benarkan saya bertanding di Cameron Highlands kali ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS