Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zamihan ancam saman Khalid
Diterbitkan:  Oct 18, 2017 5:59 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Selepas dituduh mungkin dilindungi "godfather", Zamihan Mat Zin mencabar Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, membuktikan dakwaan berkenaan.

Kata presiden Persatuan Ahli Sunnah Wah Jamaah (Aswaja) itu Khalid mesti menunjukkan bukti bahawa penceramah terbabit memang dilindungi "godfather" sesuai dengan kaedah fikah Islam.

"Jika Khalid gagal berbuat demikian, ini bermakna beliau salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang suka berbohong, malah gemar memfitnah individu yang berbeza fahaman agama dengan beliau," kata Zamihan dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Okt lalu Malaysiakini melaporkan Khalid sebagai berkata ada kemungkinan Zamihan dilindungi "godfather" - merujuk kepada pihak yang berpengaruh dalam negara.

Malah kata Khalid "godfather" terbabit cuba mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyelamatkan penceramah terbabit susulan ucapan kontroversinya di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini.

“Ustaz Zamihan ada dia punya godfather dia, ini bukan baru, dia selamba sahaja kata orang itu, ini... tapi tak ada tindakan yang diambil. Sampai sekarang ini hentam sultan pun boleh.

“Godfather nak jumpa sultan nak merayu pada Sultan, nak mengadap Sultan Johor,” katanya.

Nama Zamihan memang menjadi perhatian ramai ekoran kelantangannya menyampaikan pandangan semasa memberikan ceramah atau kuliah.

Jangan tuduh melulu

Baru-baru ini dia ditahan reman dua hari oleh polis mengikut Akta Hasutan ekoran kenyataannya mengenai kedai dobi "mesra Muslim" serta Sultan Ibrahim.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga kemudian mengambil tindakan mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor membatalkan tauliah yang diberi kepada Zamihan.

Menurut kenyataan baginda yang dibuat melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, tindakan itu dibuat melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Tindakan ini adalah lanjutan daripada satu ceramah agama yang disampaikan oleh Dr Zamihan bin Mat Zin yang mengandungi perkataan-perkataan bersifat rasis, kurang beradap dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Tambahan pula, ceramah agama yang disampaikan oleh beliau diadakan di masjid diraja, yang mana ceramah agama seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya. 

Zamihan kemudian menyatakan akur kepada keputusan berkenaan dan meminta maaf kepada Sultan Selangor.

Menurut Zamihan, Khalid turut dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan berkenaan yang disifatkannya "jelas berniat jahat dan cuba merosakkan imej" beliau.

Jika gagal, kata Zamihan, dia akan meminta peguamnya untuk mangambil tindakan undang-undang terhadap Khalid.

Kata Zamihan Khalid bukan saja cuba memburukkan imejnya malah dilihat suka mengambil kesempatan terhadap isu yang tercetus demi kepentingan politik khususnya pembangkang.

Selain jalan mahkamah Zamihan juga menyatakan kesanggupannya untuk bersemuka dengan halid bagi mencari "kebenaran" dalam isu berkenaan.

"Wacana berkenaan boleh diadakan dalam bentuk diskusi, forum mahupun debat di mana-mana saja lokasi yang beliau tetapkan.

"Sebagai seorang pemimpin beliau harus cermat dan tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti," katanya.

Lihat Komen
ADS