Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik syarikat perancang perkahwinan didakwa tipu pelanggan
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 1:26 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Pemilik syarikat perancang perkahwinan 'Zurin Jundi' dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan pelanggannya untuk menyerahkan RM7,000 bayaran pendahuluan pakej perkahwinan yang ditawarkan.

Tertuduh, Zurina Ahmad Jundi, 34, dari Jalan Kota Raja di Klang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Wanita itu didakwa memperdayakan Zainon Ali, 54, untuk mempercayai bahawa dia telah menawarkan perkhidmatan pakej perkahwinan dan dengan curang mendorong Zainon untuk menyerahkan wang sejumlah RM5,000 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta RM2,000 secara tunai, sebagai bayaran pendahuluan.

Zurina didakwa melakukan kedua-kedua kesalahan itu di sebuah bank di Pelabuhan Klang, dan di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, pada 16 Mac dan 17 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, wanita itu yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Abdul Aziz yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Zurina yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia dalam proses penjualan barang untuk memulangkan semula wang.

Majistret Rozianti kemudian membenarkan wanita itu dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 16 Nov depan untuk sebutan bagi melantik peguam serta penyerahan dokumen.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS