Akibat menoreh kepala seorang lelaki warga Bangladesh menggunakan sebilah pisau sehingga mangsa menerima 15 jahitan, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nurulhuda Zakariya juga menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Zaini Yasin, 34, selepas dia mengaku bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, iaitu pada 11 Ogos lalu.

Zaini mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Md Jubaer, 28, dengan menoreh bahagian belakang kepalanya menggunakan sebilah pisau di bawah jejambat, Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, pada 7.45 pagi, 6 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan diri di hadapan sebuah kedai serbaneka, di Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, pada 2 petang , 11 Ogos lalu mengikut Peraturan 7 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan mengambil kecederaan yang dialami mangsa.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu sedang berjalan kaki ke tempat kerja, dia didatangi seorang lelaki dari arah belakang dan terus menoreh belakang kepalanya menggunakan sebilah pisau kecil.

Lelaki itu kemudian terus melarikan diri dan polis berjaya menahan lelaki tersebut Ogos lalu.

- Bernama