Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mahu kerajaan menjelaskan sebab di sebalik kegagalan negara menduduki satu daripada 15 kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, beliau akan menghantar soalan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman supaya penjelasan dapat diberikan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Amat mengejutkan apabila Malaysia gagal dalam usaha diplomatiknya.

“Kerajaan perlu memaklumkan kepada ahli Parlimen mengenai apa yang sebenarnya telah terjadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Liew juga meminta Anifah mendedahkan kos yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menampung perbelanjaan melobi dan berkempen untuk mendapatkan kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia itu.

Sebelum ini, Malaysia pernah tewas dalam usahanya melobi kerusi untuk Majlis Hak Asasi Manusia pada 2006-2009 dan 2010-2013.

Ini adalah kegagalan ketiga negara yang hanya berjaya meraih 129 undi di belakang antaranya Afghanistan, Nepal, Pakistan dan Qatar.

Majlis yang diilhamkan pada Perhimpunan Agung PBB pada 2006 itu dianggotai 47 ahli. Ia bertanggungjawab memperkasakan promosi dan perlindungan hak asasi manusia di seluruh dunia dan mengketengahkan isu hak asasi.