Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China gesa proses damai Palestin-Israel dipercepat

China telah meminta agar lebih banyak usaha dilakukan bagi menangani isu Palestin dan berkata komuniti antarabangsa harus memiliki sikap kesegeraan dalam mencari satu penyelesaian politik, lapor agensi berita China Xinhua.

Isu Palestin merupakan pokok persoalan krisis di Timur Tengah dan punca kebanyakan masalah di rantau itu, kata Wu Haitao, yang bertanggungjawab dalam misi China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada sesi hujah Majlis Keselamatan badan dunia berkenaan.

Palestin dan Israel adalah jiran yang berkongsi nasib, jadi mempercepat penyelesaian politik isu Palestin menerusi dialog dan rundingan merupakan kepentingan asas rakyat kedua-dua pihak serta kondusif untuk keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau itu, katanya.

Beliau memberi amaran bahawa situasi Palestin-Israel adalah rapuh, konflik yang memfokus kepada petempatan agak sensitif dan situasi kemanusiaan di Gaza amat meruncing.

Pada masa sama, desakan dan aspirasi penduduk Palestin untuk membetulkan kesilapan sejarah dan meneruskan pelaksanaan hak nasional mereka yang tidak diiktiraf adalah kuat.

Beliau turut meminta usaha dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian politik berdasarkan solusi dua negara, yang disifatkannya sebagai paling sesuai dengan realiti di rantau ini serta mendapat pengiktirafan meluas masyarakat antarabangsa dan dituntut oleh resolusi Perhimpunan Agung PBB.

China menyokong segala usaha ke arah perdamaian antara Palestin dan Israel, katanya.

China turut memuji usaha diplomatik Mesir untuk mempelopori perjanjian damai antara pergerakan Fatah dan Hamas baru-baru ini.

Wu juga berkata China akan mengikuti panduan umum cadangan empat perkara yang diketengah Presiden Xi Jinping berhubung isu Palestin dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencari satu penyelesaian politik.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS