Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM arah Lowyat buang laporan kebocoran data terbesar di M'sia
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 11:14 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Mulimedia (SKMM) telah mengarahkan Lowyat.net untuk membuang sebuah laporan yang didakwa portal teknologi itu sebagai kebocoran data paling besar dalam sejarah negara.

Selepas kira-kira dua jam selepas laporan berjudul 'Personal data of millions of Malaysians up for sale, sources of breach still unknown' dimuat naik, Lowyat.net membuang kandungan berita itu.

Ia digantikan dengan pesanan berbunyi: "SKMM telah mengarahkan pembuangan artikel ini. Kami masih menunggu kenyataan rasmi daripada mereka."

Lowyat.net, dalam laporan awal berkata ia mendapat maklumat bahawa ada pihak sedang menjual pengkalan data maklumat peribadi milik rakyat Malaysia yang sangat besar.

Portal teknologi itu mendakwa pada peringkat awal, ia sangat ragu-ragu dan menganggap cubaan menjual data peribadi itu sebagai penipuan. Tetapi dakwa portal itu lagi setelah disiasat didapati ia boleh menjadi 'kebocoran data paling besar dalam sejarah Malaysia'.

Antara data untuk dijual itu ialah 50 juta masukan daripada berbagai syarikat telekomunikasi.

Ia berkata data itu termasuklah nama pelanggan, alamat bil, nombor telefon bimbit, nombor kad sim, model telefon bimbit dan nombor kad pengenalan MyKad para pelanggan.

Katanya lagi kecurian data itu dipercayai berlaku diantara tahun 2012 hingga 2015.

Data lain untuk dijual ialah 17 juta aturan maklumat pelanggan daripada portal pekerjaan.

Data itu termasuklah nama calon, nama log masuk, kata kunci, alamat emel, kewarganegaraan, alamat dan nombor telefon bimbit.

Ia menambah data tersebut mungkin didapatkan di antara tahun 2012 ke 2013.

Selain itu, terdapat juga kebocoran data sekitar 62,000 doktor yang didapatkan daripada persatuan perubatan dan 720,000 masukan permohonan pinjaman perumahan.

Data para doktor itu termasuklah nombor MyKad, alamat operasi dan nombot telefon bimbit.

Data pinjaman perumahan mengandungi maklumat seperti nama, nombor MyKad, nombor kontak, alamat emel, status senarai hitam, alamat, pekerjaan, butiran majikan, gaji dan maklumat pasangan.

Malaysiakini telah menghubungi SKMM untuk komen dan sedang menunggu makluman balas.

Lihat Komen
ADS