Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taufan Lan tidak akan melanda Sabah - MET M'sia
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 5:29 AM
Dikemaskini: 9:53 PM

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengingatkan orang ramai untuk tidak mempercayai khabar angin di media sosial bahawa Taufan Lan akan membadai negeri Sabah.

Ketua Pengarah MET Malaysia Alui Bahari berkata Taufan Lan yang pada ketika ini berada di timur Filipina dijangka bergerak ke arah utara dan tidak akan melalui kawasan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Kesan sampingan taufan ini telah menyebabkan cuaca lembab berserta angin kencang di barat dan utara Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan mulai 17 Oktober lepas dan ia dijangka berterusan sehingga 21 Oktober depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Alui berkata orang awam dinasihati mendapatkan maklumat sahih dari laman sesawang MET Malaysia di www.met.gov.my atau menghubungi di talian 1-300-221638.

Bekalan elektrik terputus

Sementara itu, hujan lebat dan ribut kencang yang melanda Sabah sejak Sabtu, telah mengakibatkan banyak kawasan terputus bekalan elektrik.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Chendramata Sinteh berkata gangguan bekalan ini berlaku secara meluas di kawasan seperti Kota Kinabalu, Papar, Beaufort dan Tuaran disebabkan banyak pokok tumbang dan menimpa talian elektrik sehingga menyebabkan beberapa kerosakan.

"Selain itu, kejadian air banjir memasuki pencawang elektrik dan tanah runtuh di beberapa kawasan turut mengakibatkan terputus bekalan ke premis pengguna," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Untuk menjalankan kerja pembaikan, beliau berkata pihaknya telah memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai risiko keselamatan kepada orang awam seperti talian elektrik putus manakala kerja-kerja pemulihan bekalan ini dibuat secara berperingkat dan tertakluk kepada faktor cuaca.

Bagi mempercepatkan kerja pemulihan bekalan elektrik, SESB telah pun menambah pasukan tunggu sedia di semua kawasan yang masih terjejas seperti Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Keningau, Tenom, Tambunan, Kuala Penyu, Tambunan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagaimanapun, kerja-kerja pemulihan bekalan tidak dapat dilaksanakan pada waktu hujan dan angin kencang demi keselematan anggota kerja dan kontraktor SESB," katanya.

Sementara itu, Chendramata menasihatkan agar orang awam tidak mendekati kawasan pencawang elektrik yang telah dinaiki air ataupun talian elektrik yang putus kerana arus elektrik mungkin masih belum dimatikan dan boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Para pengguna juga diminta menghubungi talian Careline SESB di 15454 atau 088-515000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS