Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 3 lelaki 'Geng Highway' terlibat samun
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 5:54 AM
Dikemaskini: 10:05 PM

Polis menahan tiga lelaki ‘Geng Highway’ dan memburu seorang lagi anggota geng itu kerana terlibat dalam kejadian samun di kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Plaza Tol, Sungai Dua di Butterworth dekat Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tiga lelaki berusia 24 hingga 28 tahun itu ditahan sepasukan polis menerusi Op Cantas pada 9 Oktober lepas di kawasan Sungai Lokan, Butterworth.

"Berdasarkan siasatan geng itu terlibat sekurang-kurangnya tujuh kes samun di kawasan R&R berkenaan dan modus operandi mereka ialah dengan menaiki motosikal dan menghampiri kereta yang berhenti berehat atau tidur di kawasan tersebut sebelum bertindak memecahkan cermin kenderaan mangsa.

"Mereka memecahkan cermin menggunakan palam pencucuh yang telah diubah suai sebelum mengambil beg tangan, beg serta barangan berharga milik mangsa dan kemudian melarikan diri," katanya dalam satu sidang akhbar di Kepala Batas semalam.

Katanya susulan penahanan tiga lelaki itu polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun kumpulan itu bernilai RM50,000 antaranya tujuh komputer riba, dokumen peribadi dan pakaian serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Noorzainy berkata siasatan mendapati tiga lelaki itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan usaha mengesan seorang lagi anggota geng itu berusia 20 tahun giat dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah pejabat yang dilakukan oleh ‘Geng Siling’selepas menahan dua penagih dadah berusia 31 dan 34 tahun dalam serbuan di Butterworth pada 4 Oktober lepas.

"Dua lelaki itu memecah masuk pejabat di sekitar daerah ini dan mencuri barang berharga serta wang tunai. Barang-barang tersebut dijual dan duit yang diperoleh digunakan untuk membeli dadah," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS