Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sepanyol mahu gantung autonomi Catalonia
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 8:10 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Kerajaan pusat Sepanyol pada hari Khamis berkata ia akan menggantung autonomi Catalonia dan melaksanakan pemerintahan secara terus selepas pemimpin wilayah itu mengancam untuk meneruskan perisytiharan rasmi kemerdekaan jika Madrid enggan mengadakan rundingan.

Dalam tindakan yang tidak pernah berlaku sejak Sepanyol kembali kepada demokrasi pada akhir 1970-an, Perdana Menteri Mariano Rajoy berkata beliau akan mengadakan mesyuarat khas kabinet pada hari Sabtu yang boleh membawa kepada pelaksanaan langkah itu. Pembangkang Sosialis berkata ia menyokong kerajaan tetapi mencadangkan langkah itu harus dihadkan di segi skop dan masa.

Presiden Catalan, Carles Puigdemont, yang mengabaikan tarikh akhir sehingga jam 10 pagi untuk menggugurkan kempen pemisahannya, menulis surat kepada Rajoy mengancam untuk membuat satu pengisytiharan kemerdekaan.

Perang mulut itu yang semakin meningkatkan dan menimbulkan kebimbangan tercetus rusuhan sosial, merencatkan prospek pertumbuhan ekonomi keempat terbesar di zon euro itu dan turut menjejaskan euro.

"Jika kerajaan terus menghalang dialog dan meneruskan penindasan, parlimen Catalonia boleh meneruskan, jika dianggap sesuai, untuk mengundi deklarasi rasmi kemerdekaan," kata Puigdemont.

Catalonia, yang mempunyai budaya dan bahasa tersendiri, mencetuskan krisis politik terbesar di Sepanyol selama beberapa dekad dengan usaha pemisahan dalam referendum pada 1 Oktober. Hanya 43 peratus pengundi yang mengundi tetapi mereka yang mengambil bahagian, sebahagian besarnya mengundi menyokong pemisahan.

Mahkamah Sepanyol telah memutuskan bahawa referendum itu tidak sah, tetapi Puigdemont mengatakan keputusannya mesti dipatuhi.

Kesatuan Eropah enggan membantu menjadi orang tengah, dengan mengatakan krisis itu perlu diselesaikan oleh Madrid dan Barcelona.

"Negara anggota adalah jelas bahawa tidak ada ruang bagi sebarang bentuk pengantaraan," kata Presiden Majlis Eropah Donald Tusk dalam satu sidang akhbar semasa sidang kemuncak pemimpin EU di Brussels.

Pihak berkuasa wilayah itu tidak menjelaskan bagaimana dan bila perisytiharan kemerdekaan akan berlaku dan sama ada ia akan disokong oleh dewan perhimpunan wilayah itu. Beberapa penggubal undang-undang pro-kemerdekaan mengatakan mereka mahu mengadakan pengundian di parlimen Catalonia.

Rajoy merancang menggunakan Artikel 155 perlembagaan 1978, yang membenarkan pengambilalihan sesebuah wilayah jika ia melanggar undang-undang.

Suatu sumber kanan kerajaan mengatakan langkah itu akan dipersetujui pada hari Sabtu dan mungkin diundi melalui Dewan Senat pada 30 Oktober, dan memberikan pemisah beberapa hari untuk memberi respon sebelum Madrid mengambil alih kuasa.

Pihak berkuasa wilayah itu boleh menggunakan masa itu untuk berpisah secara sepihak, memanggil pilihan raya dengan harapan untuk memperkukuhkan mandat mereka, atau beralah, walaupun ini dilihat tidak mungkin berlaku.

"Dari masa langkah-langkah itu diketahui, dasar pemerintah wilayah tahu apa yang akan terjadi dan mempunyai jangka waktu untuk bertindak sehingga 155 dapat dilaksana," kata sumber itu.

Saham dan bon Sepanyol,serta euro terjejas dalam perdagangan awal, tetapi pulih semula, yang menurut ahli strategi disebabkan Madrid dilihat mempunyai kelebihan dalam isu tersebut.

Undang-undang tak jelas

Istilah dalam Perkara 155 adalah samar-samar dan boleh mencetuskan lebih banyak masalah dengan wilayah yang bergolak itu.

"Kerajaan akan menggunakan semua yang ada untuk memulihkan secepat mungkin undang-undang dan perintah perlembagaan, memulihkan perdamaian antara warganegara dan menghentikan kerosakan ekonomi ekoran ketidakpastian undang-undang," kata jurucakap kerajaan. Inigo Mendez de Vigo dalam satu kenyataan.

Pasukan Rajoy bertemu dengan anggota parti sosialis untuk menyelaras langkah seterusnya. Jurucakap Sosialis berkata ketika mereka menyokong kerajaan sepenuhnya dan akan bertegas supaya Perkara 155 dilaksana dengan cara yang paling sesuai.

Pilihan Madrid merangkumi penutupan parlimen wilayah itu dan mengusir penggubal undang-undang, atau menggunakan pendekatan yang lebih lembut dan lebih terurus, kata sumber kerajaan. Secara teorinya, pentadbiran pusat boleh mengawal kewangan dan polis wilayah tersebut, dan mengadakan satu pilihan raya mengejut.

Tetapi beberapa ahli kerajaan Catalonia telah mempersoalkan tafsiran perlembagaan dan berpandangan bahawa kebuntuan itu boleh berterusan sehingga beberapa hari lagi.

Carles Riera, ahli parlimen dari parti CUP yang pro-kemerdekaan yang mana 10 wakilnya adalah penting bagi gabungan Puigdemont, berkata dialog dengan negara Sepanyol sekarang nampaknya mustahil, dan menyeru pemimpin wilayah itu membuat perisytiharan rasmi kemerdekaan.

"Dari sudut pandangan kami, semakin cepat ini berlaku, adalah lebih baik," kata Riera kepada Reuters di ibu kota Catalonia, Barcelona.

Ketidaksabaran juga dapat dirasai di kalangan penduduk bandar pelabuhan itu. Merche, 55, yang mengundi untuk pemisahan dalam referendum berkenaan, berkata dia bosan dengan situasi politik yang tidak menentu.

"Rakyat mahu satu resolusi. Biarlah mereka hidup dalam aman untuk meneruskan dengan rutin dan kerja mereka," katanya, sambil menyusun barangan di gerainya.

Puigdemont telah menentang Rajoy minggu ini, apabila dia mengabaikan tarikh akhir supaya menggugurkan kempen kemerdekaan dan sebaliknya meminta diadakan perbincangan. [Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS