Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Jangan takut tolak arahan salah Najib
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 1:28 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Pakatan Harapan hari ini berikrar akan menyelamatkan semua kakitangan kerajaan yang melaporkan segala kesalahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengingkari arahannya yang salah sekiranya mereka dilucutkan jawatan atau kehilangan gaji.

Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blog hari ini berkata janjinya untuk membantu penjawat awam dibuat kerana Najib sedang meningkat usaha untuk menipu pada pilihan raya akan datang.

“Pegawai SPRM diugut untuk melaksana arahan Najib. Jika mereka tidak patuh kepada arahan Najib maka tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka.

“Mereka mungkin diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi.

“Pegawai tinggi polis, pegawai di jabatan pendakwa raya, pengarah syarikat dalam Khazanah semua ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah oleh Najib untuk menang PRU,” katanya sambil memberi contoh tindakan Najib mengarah SPRM menangkap pemimpin parti pembangkang.

Menurutnya, matlamat Najib dan BN menangkap Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah untuk melumpuhkan parti itu dan menakutkan penyokongnya.

'Jangan takut beri maklumat'

Mohd Shafie ditahan SPRM sekitar jam 9 malam semalam, selepas lebih empat jam hadir untuk disoal siasat di pejabat suruhanjaya itu di Kota Kinabalu berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana pembangunan untuk negeri Sabah.

Angka RM1.5 bilion yang didakwa diseleweng itu dilaporkan datang daripada jumlah keseluruhan peruntukan dana sebanyak RM7.5 bilion untuk projek luar bandar di Sabah selama enam tahun.

SPRM juga sedang menyiasat 60 buah syarikat yang diberikan projek-projek untuk bekalan air, elektrik dan membina jalan raya bagi membantu rakyat luar bandar Sabah.

Kes itu dikaitkan dengan Mohd Shafie yang menjawat menteri pembangunan wilayah dan luar bandar dari tahun 2009 ke 2015.

Bagaimanapun, bekas naib presiden Umno itu menafikan terlibat dalam sebarang salah laku berhubung dakwaan itu.

Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa selain SPRM, polis, pejabat pendakwa raya, Najib juga akan menggunakan pegawai-pegawai dari pelbagai pejabat yang akan dilantik mengurus PRU akan disuruh menipu supaya BN akan terus menang dalam PRU 14.

“Kami dalam Pakatan Harapan sedar kami akan menang jika tidak ada penipuan dalam PRU. 90 peratus dari pengundi yang berdaftar sudah pun nyatakan mereka tolak Najib.

“Kami berjanji jika kakitangan kerajaan yang akan mengurus PRU diugut dan didera oleh Najib dan kehilangan gaji, atau pangkat atau jawatan kami akan pulih balik mereka dan pendapatan mereka. Mereka akan kembali pegang jawatan yang telah dilucut dari mereka.

“Demikian juga mereka yang memberi maklumat kepada kami akan salah cara dan penipuan Najib. Kami akan selamatkan mereka,” katanya.

 Mahathir berkata meskipun akan berlaku penipuan oleh Najib, HARAPAN akan tetap menang dan akan menunaikan janji untuk membela kakitangan awam.

“Jangan takut untuk menolak arahan salah dari Najib dan konco-konconya,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan mengenai dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS