Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saya baru ke Kuantan. Ternampak saya sebuah estet industri yang amat besar yang dikelilingi tembok simen lapan kaki tinggi dan sembilan kilometer panjang.

Terdapat tembok tanda yang diperbuat dari simen sebesar lima buah kedai biasa. Tulisan atas tembok gergasi ini hanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing.

Tidak ada bahasa kebangsaan dalam nama estet industri ini. Ini memang perkara remeh yang boleh diterima oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang.

Luasnya kawasan industri ini dikatakan 3000 ekar. Bukit bukan termasuk dalam estet ini.

Dalam kawasan ini terdapat banyak bangunan yang berbentuk kilang.

Orang Malaysia tidak dibenar masuk estet industri ini. Dikatakan semua pekerja datang dari negara yang memiliki estet ini. Katanya juga jumlah pekerja lebih kurang 3000 – wallahu waalam.

Konon ada kedai dan restoran yang membekal segala-gala yang diperlukan oleh pekerja dan pegawai. Penghuni tidak perlu keluar ke Kuantan untuk membeli apa-apa keperluan.

Ada yang berkata wang diguna dalam estet ini bukan Ringgit Malaysia. Mereka mengguna wang negara lain.

Saya tertanya-tanya apakah undang-undang yang diguna undang-undang Malaysia? Apakah pejabat-pejabat Malaysia meluluskan pembangunan dalam kawasan ini? Apakah mereka bayar cukai Malaysia?

Bahan binaan semuanya diimport dari negara asing. Tentulah mereka dapat AP dan kebenaran-kebenaran lain.

Saya kagum dengan Industrial Park ini. Kenapa diadakan di Pahang sahaja? Kenapa tidak di Kedah, di Perlis dan negeri-negeri lain?

Kenapa hanya 3000 ekar? Kenapa tidak lebih besar? Sesungguhnya kita akan capai Wawasan 2020 sebelum 2020.

Dengan adanya Industrial Park seperti ini, Malaysia akan jadi negara maju. Tak usahlah tanya akan peluang pekerjaan bagi pekerja Malaysia, peluang kontrak, peluang berniaga oleh rakyat Malaysia. Kita perlu korbankan diri kita untuk mendiri negara maju milik orang asing.

Syabas Najib. Awak cukup bijak. Tidak ada cara yang lebih baik untuk bangunkan negara daripada menjualnya.

Lihat Singapura? Lihat betapa majunya Singapura.

Nota Editor: Sesetengah dakwaan dalam tulisan ini telah dijawab oleh Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dalam satu taklimat kepada Malaysiakini.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta bekas perdana menteri keempat.

Artikel ini pertama kali dimuat-naik di blog miliknya dengan tajuk ‘Estet Industri’.

Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS