Sepuluh buah rumah sederet separuh papan dan 10 kenderaan termasuk dua lori musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk di Bagan Serai awal hari ini.

Kebakaran jam 3.50 pagi itu turut memusnahkan lima daripada rumah berkenaan yang dijadikan stor namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kereta yang terbabit ialah Toyota Vellfire, Suzuki SJ, Suzuki Swift, Perodua Kancil serta kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil berkata dua jentera dengan 11 anggota serta 10 pasukan bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit.

"Tindakan pantas bomba juga berjaya menyelamatkan lapan buah rumah berhampiran daripada musnah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Nasir berkata punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa K Morgan,48, berkata ketika kejadian beliau sedang lena tidur sebelum terjaga akibat mendengar jeritan penduduk.

"Saya mengejutkan anak dan isteri untuk menyelamatkan diri kerana api sedang marak berdekatan rumah sewa kami," katanya.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat turut melawat tempat kejadian.

Sham berkata pihaknya akan meminta Jawatankuasa Bencana Daerah untuk memberikan bantuan kepada mangsa terbabit.

Cedera ditembak

Sementara itu, dua lelaki cedera ditembak semasa minum bersama beberapa rakan di sebuah kedai kopi di Pekan Bukit Gambir dekat Tangkak, pagi ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi, dipercayai dilakukan seorang tidak dikenali yang memakai helmet bertutup penuh dan bersenjatakan sepucuk pistol semiautomatik.

"Tujuh das tembakan dalam jarak dekat telah dilepaskan suspek ke arah kumpulan mangsa yang sedang minum.

"Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Khalil berkata kedua-dua mangsa yang berumur 30-an dihantar ke Hospital Muar dan Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka stabil.

Polis sedang menyiasat dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak ASP Azmi Ali di talian 012-3344200 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di 06-9787471.

- Bernama