Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang media dakwa ARMADA tak sah kecoh seketika

Tiga bekas exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipecat, hari ini membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendakwa sayap pemuda parti itu tidak sah dari segi perlembagaan parti.

Mereka adalah Mohamad Taufik Abbas, Muhammad Syazwan Ahmad Zainal dan Wahazir Abd Wahabi.

Taufik ditemui pemberita di perkarangan Kompleks D, Putrajaya berkata laporan itu dibuat selepas membuat semakan di RoS bagi memerika status pemecatan dirinya dan beberapa exco lain yang hanya dilakukan menerusi laman sosial, Twitter sebelum ini.

"Ia tidak ada dalam perlembagaan parti. Ia berlaku selepas saya membuat carian rasmi di RoS untuk melihat kembali bagaimana hal pemecatan saya.

"Namun saya terkejut apabila mengetahui ARMADA tidak wujud dalam perlembagaan (parti). Dan hal ini saya kira adalah penipuan dan pemerdayaan kepada ahli-ahli dan anak muda yang percaya dengan perkara yang tidak ada," katanya.

Menurut Taufik, beliau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu semalam, dan laporan kepada RoS hari ini turut melampirkan salinan laporan berkenaan, surat aduan dan watikah pelantikan yang 'tidak sah'.

Taufik berkata, pemecatannya sebelum ini pada Jun lalu juga adalah tidak sah memandangkan sayap berkenaan langsung tidak wujud.

"Saya cabar Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menafikan perkara ini, tunjuk di manakah ARMADA di dalam perlembagaan parti.

"Kita sudah tertipu selama ini. Beliau pecat saya dalam perkara yang tidak ada. Beliau pun tidak ada jawatan itu, beliau bukan Ketua ARMADA," katanya.

Taufik berkata tindakan pemecatan seharusnya melalui proses dalaman seperti menerusi Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Khas parti.

Sementara itu, Wahazir mempersoal peranan tiga pemimpin tertinggi PPBM, merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang seolah-olah 'lepas pandang' dalam perkara yang melibatkan perlembagaan parti.

"Saya kecewa dan marah apabila kita ditipu oleh pimpinan parti sendiri yang dahulunya mentadbir negara 22 tahun.

“Takkan tak boleh lihat hal perlembagaan? Termasuk pemimpin nombor dua dalam negara dan pernah mentadbir negeri pun tidak boleh tengok hal perlembagaan? Adakah mereka buta huruf?," soalnya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja ketiga-tiga exco yang dipecat itu itu hampir selesai sidang media berkenaan mereka disergah oleh beberapa anggota ARMADA, termasuk Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin.

Susulan gangguan itu keadaan menjadi sedikit kecoh apabila Ulya tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan yang dibangkitkan Taufik berhubung status ARMADA dalam perlembagaan serta isu pemecatan yang tidak mengikut saluran parti.

"Respon isu perlembagaan yang dibawa tiga exco 'tercedera'. Perlu dijelaskan sewaktu penubuhan perlembagaan dihantar, namun ada pindaan dan dihantar dan sedang tunggu kelulusan.

"Dalam perlembagaan itu ada sebut nama ARMADA. Saya pun ada latar belakang undang-undang dan saya anggap mereka tak tahu perkara ini.

"Penubuhan ARMADA tidak perlu melalui RoS namun perlu dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan itu jelas,” kata Ulya.

Manakala mengulas pemecatan ketiga-tiga bekas exco itu, Ulya berkata ia berlaku dibawah kuasa ketua ARMADA.

"Mengenai pemecatan mereka, di dalam peraturan ARMADA sendiri, tidak ada klausa perlu melalui Lembaga Disiplin kerana ia berkait pemecatan ahli.

"Pemecatan jawatan ia terjadi di bawah kuasa Ketua ARMADA sendiri. Sama ada ia diberhentikan atau meletak jawatan, atau dilucut jawatan atas perkara khusus," kata Ulya.

Pada Ogos lalu, Syed Saddiq memecat beberapa exco ARMADA yang lantang mengkritik Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS