PAS dekati pengundi bukan Islam yang tolak DAP, kata Hadi
Pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, kerjasama antara PAS dengan DAP menyaksikan kedua-dua parti itu meraih manfaat dengan PAS mendapat sokongan di kalangan orang bukan Melayu yang secara tradisinya tidak akan menyokong parti Islam berkenaan.
Namun keretakan kedua-dua parti itu tidak dilihat sebagai kerugian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang berkata, parti itu kini mempunyai sokongan pengundi Melayu yang jauh lebih besar, dan sedang mendekati pengundi bukan Islam yang menolak DAP.
“Dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita buat, kita berjaya mendekati pengundi Melayu-Islam khususnya, dan bukan Islam yang menolak politik perkauman DAP.
“Kita sedar tidak semua orang bukan Islam suka DAP yang rasis dan perkauman,” kata Abdul Hadi dalam satu temu bual dengan akhbar Sinar Harian.
Abdul Hadi berkata parti itu juga berjaya merobohkan benteng dengan agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan banyak pihak yang bersedia berjumpa dengan mereka.
Hubungan PAS dengan DAP berkecai pada tahun 2015 dan ini menyaksikan kematian Pakatan Rakyat. PAS kini bergerak di bawah nama Gagasan Sejahtera dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan berharap menjadi Blok Kuasa Ketiga.
Menurut penganalisis politik, strategi sedemikian akan menjejaskan pembangkang, kerana pertandingan tiga penjuru akan memecah sokongan pembangkang, dan memberikan kelebihan kepada BN pada pilihan raya akan datang.
Bagi mereka, buktinya adalah jelas seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu, yang menyaksikan BN memenangi kerusi-kerusi itu dengan majoriti yang lebih besar.

Bagaimanapun, Hadi berkata kedua-dua pilihan raya kecil itu kes tersendiri.
“Senario politik di dua kawasan ini tidak mewakili keseluruhan senario politik di seluruh negara.
“Setiap kawasan ada ciri-ciri tersendiri, mengambil kira komposisi kaum, kedudukan kawasan di bandar atau luar bandar, parti-parti mana yang bakal bertanding, siapa calon dijangka bertanding, isu-isu setempat dan lain-lain.
“Oleh sebab itu, dalam mempertimbangkan boleh menang atau tidak, PAS tidak sekadar menganalisisnya berasaskan dua senario, tiga penjuru atau dua penjuru. PAS juga tegas bersama akidah Islam dan bersama asas Perlembagaan Negara yang mahu dirungkaikan oleh berbagai aliran,” katanya.

