Bandar raya Miri dilanda ribut lagi
Ribut serta hujan lebat melanda bandaraya Miri dua hari berturut-turut sejak semalam dengan tempoh berlaku ribut hari ini lebih lama berbanding semalam.
Jika semalam fenomena tersebut berlaku lebih kurang 15 minit mulai 4.55 petang, namun hari ini berlarutan lebih dua jam mulai 1.30 tengah hari, sehingga mengakibatkan pokok tumbang serta bumbung rumah tercabut.
Turut diterbangkan ribut ialah bumbung Balai Polis Pusat Miri dan bumbung Pasar Basah Miri yang terletak di tengah bandaraya Miri namun tiada kecederaan berlaku.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata bomba turut menerima panggilan mengalihkan pokok tumbang di sebuah rumah dan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu 7.
“Bomba turut tolong mengalihkan pokok tumbang di bumbung Hotel Marriot Miri,” katanya.
- Bernama

