Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ABM sangkal dakwaan pinjaman kenderaan ditolak
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 6:53 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) menyangkal dakwaan bahawa 60 peratus permohonan pinjaman kenderaan telah ditolak oleh bank walaupun jumlah tempahan kenderaan semakin meningkat seperti dilaporkan sebuah penerbitan tempatan baru-baru ini.

Sebaliknya, ABM berkata, berdasarkan maklum balas daripada lapan bank komersial yang menawarkan pembiayaan sewa beli, kadar kelulusan dari Januari hingga September 2017 kekal kukuh pada 68 peratus, angka yang sama pada 2016.

“Kami juga mahu menjelaskan bahawa, seperti semua pinjaman, bank akan mempertimbangkan semua aspek untuk menentukan kemampuan pemohon membayar semula pinjaman semasa proses penilaian kredit mereka,” menurut persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

ABM berkata, antara perkara lain, bank akan mengambil kira rekod prestasi pembayaran semula oleh pemohon, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman tersebut.

“Beberapa sebab utama permohonan pinjaman itu ditolak termasuk sejarah kegagalan kredit atau rekod prestasi yang negatif, ketidakcukupan bukti pendapatan, kemampuan bayaran tidak menentu dan pendapatanboleh guna bersih yang rendah,” menurut ABM.

Persatuan itu berkata, bank-bank komersial di Malaysia masih menyokong sektor automotif seperti yang ditunjukkan oleh kadar kelulusan yang tinggi, dan pinjaman kenderaan akan terus diberikan kepada peminjam yang layak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS