Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Kapten Izham jamin kesinambungan, kata Khazanah
Diterbitkan:  Oct 21, 2017 6:13 AM
Dikemaskini: 10:17 PM

Pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan menjamin kesinambungan dan kemajuan keseluruhan usaha penstrukturan semula syarikat penerbangan tesebut di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) lima tahunnya, kata Khazanah Nasional Bhd.

Khazanah berkata, Izham, ketika memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan pemulihan berkenaan.

“Pelaksanaan MRP dalam tempoh 38 bulan sejak pelancarannya, iaitu hampir dua pertiga daripada tempoh lima tahunnya, tetap diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia dan MAB telah melantik Izham sebagai Pengarah Eksekutif dan GCEO berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan semalam, MAB berkata, Izham akan memegang jawatan sebagai GCEO pada 1 Disember 2017 bagi menggantikan Peter Bellew, yang sedang bercuti.

Khazanah berkata, sebagaimana ditetapkan MRP, penstrukturan semula MAB mengikuti rangka kerja tadbir urus dan kelulusan yang baik.

“Rangka kerja itu menyaksikan Khazanah, lembaga pengarah MAB, pengurusan dan kakitangan bekerjasama rapat, dengan sokongan penuh kerajaan bagi menghasilkan kemajuan penstrukturan semula berkenaan," katanya.

Khazanah berkata, pendekatan kolektif ini akan terus memacu penstrukturan semula MAB ke arah pemulihan sepenuhnya serta keuntungan mapan.

MRP yang dilancar Khazanah pada 29 Ogos 2014, menyediakan asas kepada pembangunan dan kesinambungan bakat kepimpinan sebagai satu komponen penting usaha penstrukturan semula keseluruhan MAB.

Izham, yang kini COO Malaysia Airlines mempunyi pengalaman penerbangan yang luas dengan 38 tahun rekod perkhidmatan, bermula sebagai juruterbang syarikat penerbangan negara itu pada 1979.

- Bernama

Lihat Komen
ADS