Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah runtuh berlaku begitu pantas, kata mangsa
Diterbitkan:  Oct 21, 2017 1:17 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Beberapa pekerja binaan rakyat Bangladesh yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah hari ini, berkata kejadian itu berlaku amat pantas, hanya kira-kira seminit sahaja, mengakibatkan antara 15 dan 20 orang dipercayai tertimbus manakala dua lagi berjaya dikeluarkan.

"Ketika kejadian saya sedang pasang besi dan masa nak naik ambil besi saya nampak tanah di bahagian atas sana turun (runtuh) dan bunyi bising.

"Satu minit sahaja, pantas...kawan-kawan saya dalam lapan orang kat bawah tak sempat lari. Tak tau hidup ke mati,” kata Mohammad Jashim Hussein Ahmad, 27, seorang daripada pekerja di tapak pembinaan itu.

Kejadian dilapor pada pukul 8.57 pagi dan ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat serta polis.

Menurut laporan awal bomba, kejadian tanah runtuh itu melibatkan  kawasan pembinaan bangunan yang sedang dibina dengan kecerunan tanah dianggar 10 meter. Ketika kejadian cuaca baik.

Tinjauan  Bernama mendapati orang ramai dilihat berkumpul di sekitar kawasan itu dengan polis meletakkan garisan keselamatan kira-kira 100 meter dari kawasan runtuhan bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan itu.

Seorang lagi pekerja, Mohd Awal Jafra Alma berkata adiknya, Mohd Abdul Rahman, 18, yang baru bekerja di tapak pembinaan itu, dipercayai masih tertimbus.

"Kawan bagitau dalam pukul 8 lebih... saya tak tau adik hidup ke mati... saya akan tunggu sini nak tengok sendiri keadaan adik,” katanya.

Kejadian itu, katanya, belum dimaklumkan kepada ibu bapanya yang kini berada di hospital di Bangladesh.

Seorang lagi pekerja Mohd Bachu, 30, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit selepas dia masuk kerja.

"Masa tu saya diarah ambil besi di bahagian atas dan toleh-toleh nampak tanah dah runtuh begitu pantas... rakan-rakan yang lain tak sempat selamatkan diri,” katanya sambil memberitahu seorang saudaranya Nur Alam, 30, dipercayai masih terperangkap.

- Bernama

Lihat Komen
ADS