Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu keluar PAS untuk sokong HARAPAN - Mahfuz

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata mana-mana ahli PAS termasuk dirinya tidak perlu keluar daripada parti parti Islam itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mahfuz berkata PAS kini dilihat bukan sebuah parti bersama rakyat yang ingin merubah negara kerana hanya mahu bertanding di 40 buah kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Tak keluar parti untuk beri sokongan padu pada HARAPAN sebab HARAPAN sahaja yang tunjuk komitmen untuk perubahan politik dan tidak pada gagasan sejahtera yang diketuai oleh PAS.

“Sebabnya PAS semalam nak sasar 40 kerusi (pada PRU14), jadi PAS tak tunjuk ambil alih, nak ambil kuasa dari BN, ia tak tunjuk komitmen PAS nak ubah masalah kos sara hidup.

“Rakyat terbeban kerana PAS tak sedia ambil kuasa, kita tak kena beri sokongan tanpa keluar parti untuk ambil alih kuasa politik nak selesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita ketika sesi rehat di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar hari ini.

Mahfuz hadir di majlis AMANAH itu bersama tiga lagi pemimpin PAS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) serta ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman.

Mereka sejak akhir-akhir ini dilihat mesra AMANAH dan sering menghadiri program anjuran HARAPAN.

Mengulas lanjut mengenai kehadirannya hari ini, katanya beliau menerima jemputan daripada AMANAH dan kehadirannya bagi menunjukkan sokongan kepada HARAPAN.

“Saya sebagai rakan lama saya berjuang dulu meraikan mereka, memenuhi jemputan tersebut dari salah satu parti pembangkang di negara kita. AMANAH tunjuk komitmen tinggi bersama HARAPAN untuk memastikan kuasa politik dalam negara kita berhadapan PRU depan,” katanya.

Beliau turut menolak bahawa PAS akan mengambil tindakan ke atasnya sekiranya parti Islam itu mengamalkan politik matang.

“Dalam politik matang saya kira PAS tidak akan mengabil tindakan kepada saya. Dalam politik baru kena bina keterbukaan. Mana-mana ahli politik boleh pergi ke majlis politik, tak jadi kesalahan kerana kita kena dokong politik lebih terbuka,” katanya.

Bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ acara tahunan kali kedua itu diadakan di  Alor Setar.

Kesemua pemimpin utama HARAPAN turut hadir antaranya Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATUu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir wakil Ikram Malaysia, ABIM, Parti Keadilan Sejahtera dan wakil ahli parlimen Sri Lanka.

Konvensyen disertai seramai 898 perwakilan dari seluruh negara.

 

Lihat Komen
ADS