Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak perlu pasukan khas pantau siasatan ketua pesuruhjaya SPRM
Diterbitkan:  Oct 21, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Tidak perlu tubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau siasatan terhadap dakwaan menjalin hubungan sulit yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad, kata Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

“Biasanya, setiap laporan polis ditugaskan kepada pegawai penyiasat yang akan menyiasat kes berdasarkan undang-undang.

“Kita perlu hormat undang-undang dan setiap siasatan jenayah perlu dijalankan mengikut undang-undang agar ia boleh dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rangka kerja siasatan seperti ini, katanya, untuk memastikan keadilan dan ketelusan kepada semua.

Gobind menambah, rangka kerja siasatan seperti itu akan memastikan suatu kes disiasat oleg pegawai penyiasat dan bukannya petugas khas.

“Pegawai penyiasat yang akan memberi keterangan di mahkamah dan dia mungkin akan dikenakan pemeriksaan balas. Maka kredibilitinya yang akan dibicarakan bukan kredibiliti pasukan petugas khas,” katanya.

Sebab itu, katanya, beliau percaya pasukan petugas khas tidak akan menyumbang apa-apa kepada siasatan terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Dzulkifli.

“Kita tidak seharusnya galakkan budaya baru dimana pasukan petugas khas ditubuhkan untuk kes individu.

“Ia akan menjadi teladan yang berbahaya yang tidak harus digalakkan,” katanya.

Menurut Gobind, tak ada sebab untuk mejalankan siasatan ini berbeza dengan siasatan jenayah lain, kerana dalam perlembagaan semua pihak tertakluk di bawah undang-undang.

“Hal ini juga sama ke atas Dzulkifli,” kata Gobind.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau siasatan, “mengambil kira keseriusan tuduhan”.

Laporan polis dibuat berkenaan dakwaan itu dan Ketua Polis Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Seksyen 498 menyebut memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.

Pensabitan boleh membawa penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Minggu lalu, sebuah video disiarkan menuduh Dzulkifli menjalinkan hubungan dengan wanita yang sudah berkahwin.

Lihat Komen
ADS