Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Mohd Shafie Apdal dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu untuk menyambung tahanan remannya.

Perkara ini disahkan oleh salah seorang penasihatnya dan Setiausaha Agung WARISAN Loretto Padua Jr.

Loretto berkata presiden WARISAN itu akan memberi kerjasama dalam siasatan meskipun masih dalam rawatan.

“Dia sihat dan masih dalam rawatan.. Dia akan membantu siasatan,” kata Loretto.

Loretto juga mengesahkan Shafie telah dibawa ke rumahnya di Kota Kinabalu untuk tujuan siasatan oleh SPRM petang tadi.

Tiada rampasan dilakukan ketika digeledah, kata Loretto kepada Malaysiakini.

SPRM memperoleh tahanan reman empat hari ke atas Shafie semalam. Shafie ditahan pukul 9 malam pada Khamis lalu, empat jam selepas dia secara suka rela tampir untuk disoal siasat di ibu pejabat agensi itu di Kota Kinabalu.

Shafie tiba semalam di kompleks mahkamah Kota Kinabalu dengan kenderaan ambulans selepas dimasukkan dalam wad semalaman di Hospital Queen Elizabeth II ekoran tekanan darah tinggi.

Terdahulu, SPRM juga menahan dua adik Shafie dan beberapa pemimpin WARISAN dalam siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan RM1.5 bilion dana pembangunan luar bandar yang diperuntukkan untuk negeri Sabah.

Jumlah RM1.5 bilion itu didakwa merupakan sebahagian daripada RM7.5 bilion dana yang dilaporkan diperuntukkan untuk projek pembangunan kawasan pedalaman Sabah untuk tempoh enam tahun.

SPRM menyiasat 60 syarikat yang diberikan projek untuk bekalan air, elektrik, dan jalan raya untuk membantu penduduk di pedalaman negeri itu.

Shafie memegang portfolio kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2009 hingga 2015. Shafie menafikan penglibatannya dalam skandal itu.

Lihat Komen
ADS