Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun berkemungkinan berdepan cabaran empat penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Annuar Tan Abdullah yakin beliau akan mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 1999 itu.

Beliau turut menolak anggapan bahawa pengundi khususnya kaum Cina akan beralih arah malah sebaliknya yakin mereka menerima baik pentadbiran PAS selama 27 tahun di negeri Kelantan.

"Pengundi kaum Cina di Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain. Mereka sudah terdidik dengan cara pemerintahan PAS yang memberi layanan adil sejak zaman (bekas menteri besar) Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Di tempat lain mungkin mereka terpengaruh dengan DAP, tapi di Kelantan tidak. Rakyat Kelantan juga benci Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang memerintah Malaysia selama 22 tahun, " katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran yang bakal dihadapinya selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Dr Mahathir sebagai pengerusi dan berkemungkinan meletakkan calon daripada DAP pada PRU14 akan datang bagi kerusi tersebut.

Selain musuh tradisi iaitu BN dan HARAPAN, DUN Kota Lama juga bakal menjadi taruhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang baru-baru ini mengumumkan untuk turut bertanding di kawasan itu.

DUN Kota Lama yang terletak di parlimen Kota Bharu menjadi tumpuan susulan mempunyai ramai pengundi kaum Cina berbanding kawasan lain di Kelantan walaupun tidak mencapai tahap majoriti.

Layanan lebih adil

Annuar yang juga exco kerajaan negeri berkata, pengundi Kelantan khususnya hanya akan membuat dua penilaian antara PAS dan BN walaupun HARAPAN menyatakan hasrat untuk turut mencuba nasib.

"Baguslah lagi meriah, bendera-bendera pun akan banyak. Kedai-kedai pun jadi lebih laku.

"Kita tak rasa apa-apa risiko. Pengundi di sini hanya akan buat dua pilihan iaitu PAS atau BN. Dengan parti serpihan kita tak bimbang.

"Dan mereka sendiri (pengundi) sedia maklum prestasi BN yang menghadapi pelbagai krisis berbanding PAS yang memberi layanan lebih adil," katanya sambil mengakui majoriti dimenangi mungkin merosot susulan lebih banyak persaingan.

Tambah beliau, perkembangan semasa menunjukkan masyarakat Cina di kawasan itu tetap memberi sokongan kepada PAS berdasarkan komitmen mereka menghadiri program-program anjuran parti dan kerajaan negeri.

"Contohnya baru-baru ini kita buat majlis perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho dan Pesta Tanglung menyaksikan ribuan kaum Cina turut serta," katanya merujuk program yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahamad Yakob pada 5 Okt lalu.

Dalam program itu penganjur turut menyediakan pelbagai acara tarikan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah motosikal, peti sejuk, mesin basuh dan basikal.

PRU14 dijangka bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di Kelantan termasuklah dari calon Parti Amanah Negara (AMANAH) yang merupakan parti serpihan PAS pascamuktamar 2015.

Lihat Komen
ADS