Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Adakah polis sudah siasat ketua pesuruhjaya SPRM?
Diterbitkan:  Oct 22, 2017 1:03 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Anggota parlimen Puchong Gobind Singh Deo meminta polis menjelaskan sama ada sudah mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berhubung dakwaan hubungan sulit melibatkannya.

Gobind mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam, yang beliau tidak diberitahu tentang perkembangan siasatan kes itu.

"Saya menggesa Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan perkembangan siasatan dakwaan melibatkan Dzulkifli.

"IGP perlu memberitahu kita sama ada polis telah mengesahkan tahap kebenaran kandungan dalam video (yang tersebar)?

"Cara terbaik untuk melakukannya adalah bertanya Dzulkifli sendiri. Adakah polis sudah memanggilnya untuk soal siasat bagi membantu siasatan?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Rakaman yang mendakwa Dzulkifli terlibat dalam hubungan sulit dengan seorang wanita, sehingga menjadi punca penceraian wanita itu, telah tersebar di internet.

Fuzi sebelum ini berkata polis sedang menyiasat perkara itu bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan polis berhubung video itu.

Seksyen 498 menyebut memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.

Dzulkifli menyifatkan dakwaan itu sebagai "serangan kotor dan jijik" dan berpunca daripada tindakan agresif SPRM membanteras rasuah.

Gobind yang juga ketua biro undang-undang DAP berkata, siasatan tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan kewibawaan SPRM.

"Dengan mengambilkira personaliti yang didakwa terlibat dalam kes ini, pasti ada yang merasakan ia (menyoalsiasat Dzulkifli) sebagai titik mula siasatan dan pada saat ini, semua fakta asas sudah pun disahkan," katanya.

Justeru, beliau menggesa Fuzi yang baru dilantik menjadi IGP agar memberi penjelasan dan menunjukkan ketegasannya dalam menjalankan tanggungjawab itu.

"Ini merupakan satu lagi kes yang akan menentukan kebolehan dan reputasinya," kata Gobind.

Terdahulu, Apandi mengumumkan pejabat peguam negara menubuhkan pasukan khas bagi memantau siasatan kes itu.

 

Lihat Komen
ADS