Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sudah 2 kali kami bangkitkan risiko tanah runtuh, kata NGO

Kemungkinan berlaku insiden tidak diingini di tapak kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah dikemukakan sebanyak dua kali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sejak awal tahun ini, kata gabungan pertubuhan masyarakat Penang Forum.

Wakil mereka Dr Lim Mah Hui berkata, kali pertama perkara itu dibangkitkan oleh Penang Hill Watch (PHW) ialah pada Januari dan kali kedua pada Mei, memohon agar projek tersebut dihentikan kerana khuatir boleh berlaku runtuhan tanah.

“Gambar-gambar kawasan pembinaan dan pemotongan bukit di tapak ini dikemukakan kepada kerajaan negeri yang menjawab ‘kerja-kerja tanah di situ sedang dipantau’.

“Laporan kali kedua kami kemukakan berserta hasil siasatan susulan dan kali ini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di George Town, hari ini.

Kedua-dua laporan tersebut dikemukakan kepada Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow.

Penang Forum memulakan PHW, satu inisiatif komuniti untuk menyalurkan maklumat mengenai pemotongan bukit yang diperoleh daripada masyarakat kepada kerajaan negeri.

Dalam kejadian 8.57 pagi semalam itu, tujuh pekerja binaan terbunuh manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu milik 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai di Tanjung Bungah.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan dan polis percaya mangsa tertimbus sehingga sedalam 10 meter.

Lim berkata dua tahun lepas, Penang Forum menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP itu menyemak semula serta menghentikan projek pembangunan di lereng bukit namun tidak dipedulikan.

“Natijahnya yang begitu memeritkan dapat dilihat hari ini dengan kemungkinan 11 nyawa terkorban dalam runtuhan tanah di projek lereng bukit di Tanjung Bungah,” katanya.

Katanya dalam Garis Panduan bagi Pembangunan di Lereng Bukit, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang akan memperkuat unit geoteknikal mereka yang bertanggungjawab memproses dan meluluskan permohonan bagi pembangunan di kawasan bukit, diikuti penguatkuasaan yang ketat.

“Soalannya apa yang berlaku selepas itu? Adakah kerajaan negeri dan PBT melaksanakan garis panduan tersebut atau telah berlaku satu kecuaian melampau,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS