Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang juga perlu desak anak letak jawatan, kata Noh

Tan Sri Noh Omar hari ini memulangkan paku buah keras kepada Lim Kit Siang, dengan menggesa penasihat DAP itu menasihatkan anaknya Lim Guan Eng agar meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang susulan insiden tanah runtuh Sabtu lalu.

September lalu, Kit Siang pernah mendesak Noh agar meletakkan jawatan selepas kebakaran Pusat Tahfiz Quran Darul Ittifaqiyah, Keramat Ujung bulan lalu, yang meragut 23 nyawa.

Menyifatkan kejadian tanah runtuh itu bukan isu politik, Noh membidas pembangkang yang menurutnya sebelum ini suka mempolitikkan tragedi yang berlaku.

"Seperti tahfiz terbakar, mereka cari peluang politikkan isu. Mereka tekan saya sebagai menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk letak jawatan untuk bertanggungjawab terhadap kebakaran itu.

"Hari ini, saya nak nasihatkan pula Kit Siang, tolong nasihatkan anaknya untuk letak jawatan dan bertanggungjawab terhadap tenah runtuh.

"Tuhan Maha Kaya, (tragedi itu) terjadi pula di negeri anaknya. Suruhlah dia letak jawatan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kit Siang sebelum ini berkata Noh wajar dipecat atau sekurang-kurangnya dipindahkan ke kementerian lain kerana gagal menjalankan tanggungjawab memastikan 'kesejahteraan bandar'.

Kerajaan negeri diminta bentang laporan

Sementara itu mengulas insiden berkenaan, Noh berkata garis panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi kerajaan negeri mungkin lebih menyeluruh berbanding kementeriannya.

Bagaimanapun, Noh berkata kerajaan negeri Pulau Pinang diminta membentangkan laporan penuh berhubung insiden tersebut.

"Kita sudah tulis surat kepada kerajaan negeri untuk mereka bentangkan laporan peristiwa tanah runtuh ini dalam mesyuarat majlis perancang fizikal negara untuk kita tahu lebih lanjut," tambah Noh.

Sabtu lalu, 11 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di George Town.

Ketika kejadian pada 8.57 pagi, kesemua mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang sedang dibina itu apabila tanah lereng bukit itu runtuh dan menimbus mereka.

Difahamkan kerja-kerja yang sedang dijalankan ialah pembinaan struktur tingkat bawah tanah bangunan 50 tingkat projek milik syarikat swasta.

Lihat Komen
ADS