Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak adil minta Guan Eng letak jawatan kerana tanah runtuh'

Anggota Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mempertahankan Lim Guan Eng dengan mengatakan gesaan agar ketua menteri Pulau Pinang itu meletakkan jawatan kerana insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah 'adalah tidak adil'.

Beliau berkata kejadian yang berlaku pagi Sabtu itu berkaitan pengurusan tapak projek yang lemah dan bukannya pembangunan lereng bukit yang tidak sah atau isu-isu lain yang dibangkitkan oleh beberapa persatuan di Pulau Pinang.

Kumpulan-kumpulan itu menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat insiden itu dan mengancam untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Mereka minta ketua menteri untuk letakkan jawatan kerana insiden di tapak projek. Adakah ini adil? "

"Kemalangan di tapak projek berlaku setiap hari di negara ini, adakah ini bermakna ramai menteri akan kehilangan kerja?" Kata Pengerusi DAP Pulau Pinang itu pada sidang media hari ini.

Menurut Chow, kerajaan negeri menyatakan bahawa kurangnya pengawasan oleh pihak pemaju menyebabkan insiden itu berlaku.

"Jurutera perunding mempunyai banyak penjelasan mengenai mengapa cerun itu ditarah dengan cara itu," kata Chow.

Kerajaan negeri hari ini mengarahakn Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat laporan polis supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap pemaju projek dan kontraktor sekiranya didapati cuai.

Ketua Menteri juga membentuk Suruhanjaya Siasatan Negeri untuk meneliti kejadian itu.

Kementerian Sumber Manusia dan Alam Sekitar hari ini menyatakan "kekecewaan" dengan kerajaan negeri kerana membenarkan projek perumahan tersebut diteruskan tanpa mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBPP Maimunah Sharif menegaskan bahawa pembangunan itu mematuhi garis panduan keselamatan negara.

Lihat Komen
ADS