Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Tiga anggota parlimen PKR membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu RM9.5 juta yang didakwa dibayar kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari akaun bank perdana menteri.

Ini selepas hampir lima bulan tuduhan itu pertama kali dilaporkan oleh laman web pemberi maklumat Sarawak Report.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan yang dibuat dalam laporan itu secara bebas.

Hari ini, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menjelaskan mereka memutuskan untuk hadir ke SPRM kerana tiada penjelasan komprehensif diberikan terhadap tuduhan tersebut.

"Ya, isu ini bukanlah perkara baru, tetapi kita masih menunggu sama ada (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Nancy Shukri atau Shafee menafikan dakwaan ini.

"Terdapat dua akaun yang berbeza. Jumlah RM9.5 juta tidak konsisten dengan apa yang dikatakan Nancy - RM1,000 telah dibayar kepada Shafee (untuk khidmatnya sebagai pendakwa).

"Kami mahu SPRM menyiasat siapa yang berkata benar," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Shafee (gambar) belum lagi membuat kenyataan rasmi terhadap tuduhan itu walaupun mengatakan dia akan berbuat demikian pada bulan Jun.

Zuraida dan Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar adalah antara yang mengiringi Shamsul Iskandar ketika membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari ini.

Pegawai penguatkuasa SPRM Huang Hee Heok menerima laporan tersebut dan berkata pihaknya akan memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari.

Zuraida, yang juga anggota parlimen Ampang, menambah bahawa beliau akan menimbulkan perkara ini dalam sidang parlimen yang bermula hari ini.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Shafee telah menerima bayaran dalam dua transaksi iaitu pada 11 Sept 2013 dan 17 Februari 2014 daripada akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Putrajaya pada tahun 2013 melantik Shafee sebagai pendakwa dalam kes Liwat II membabitkan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Anwar didapati bersalah dan kini menjalani hukuman penjara lima tahun.

Parlimen diberitahu pada tahun 2015 bahawa Shafee dibayar RM1,000 untuk perkhidmatannya sebagai pendakwa.

Mengikut pendedahan Sarawak Report, Anwar meminta pengisytiharan bahawa sabitannya untuk kes liwat, di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2014, adalah tidak sah dan terbatal serta ultra vires mengikut Perkara 5 (1 ) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan seseorang.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 adalah tidak sah danterbatal atas alasan yang sama.

Keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizah Nawawi mengenai sama ada untuk membatalkan permohonan Anwar dijadualkan esok.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS