Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indonesia minta penjelasan panglima TNI dihalang ke AS
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 6:27 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

GLOBAL I Indonesia pada Isnin meminta penjelasan Amerika Syarikat (AS) kerana menghalang ketua tenteranya daripada memasuki negara itu yang mencetuskan kemarahan penduduk negara majoriti Islam terbesar di dunia itu.

Komander Angkatan Bersenjata Indonesia, Gatot Nurmantyo dihalang menaiki penerbangan Emirates ke AS, walaupun menerima undangan rasmi daripada pengerusi ketua kakitangan bersama dan bekas ketua Kor Marin AS, Jeneral Joseph F Dunford Jr.

Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi, berkata beliau telah menerima permohonan maaf secara rasmi daripada wakil duta AS di Jakarta, namun masih menunggu penjelasan terperinci.

Dalam satu kenyataan, kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta berkata, masalah tersebut telah diselesaikan dan Gatot tidak dihalang daripada memasuki negara itu.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Nurmantyo akan menghadiri persidangan itu seperti yang dijadualkan pada 23 dan 24 Oktober.

Insiden itu menyebabkan kemarahan penduduk Indonesia yang meletakkan sepanduk di sekitar Jakarta bagi menggesa duta AS dan rakyat Amerika diusir.

Bekas Duta Besar Indonesia ke AS, Dino Patti Djalal pula meminta reaksi yang lebih keras daripada pemerintah Indonesia.

"Pemerintah tidak sepatutnya meminta penjelasan, tetapi menyampaikan bantahan kepada pihak AS," katanya di laman Twitter.

Indonesia pada umumnya mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat tetapi kadang-kala menjadi tegang apabila membabitkan isu syarikat-syarikat Amerika yang beroperasi di Indonesia dan dakwaan pelanggaran hak asasi melibatkan tentera Indonesia.

Nurmantyo sebelum ini kerap mengundang kontroversi kerana dituduh menggambarkan republik itu dikepung oleh "perang proksi" yang dilancarkan oleh negara asing untuk melemahkan Indonesia.

Bulan ini, Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, angkatan bersenjata harus bebas daripada politik dan memastikan kesetiaan mereka hanya kepada negara dan pemerintah - yang dipercayai merujuk kepada tindakan Nurmantyo.

Nurmantyo dijangka bersara pada Mac depan dan ramai menjangkakan beliau akan bertanding untuk jawatan naib presiden atau presiden Indonesia pada tahun 2019.

Ahad lalu jurucakap tentera Indonesia Wuryanto berkata syarikat penerbangan Emirates memberitahu Nurmantyo bahawa agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS tidak akan membenarkannya masuk ke wilayah AS.

Lihat Komen
ADS