mk-logo
Berita
Rafizi dakwa Felda tubuh syarikat BVI lepas pendedahan beliau
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 2:30 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa bahawa anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) hanya didaftarkan pada 13 Oktober iaitu pada hari yang sama beliau membuat pendedahan mengenai firma itu tidak memiliki hotel di London.

Namun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mempertikaikan dakwaan itu.

Sebaliknya Razali berkata ia adalah salinan dokumen pendaftaran syarikat yang disahkan sebagai salinan sebenar pada 13 Oktober.

Rafizi pada pada tarikh berkenaan mendakwa Hotel Grand Plaza Kensington dimiliki syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) yang dinamakan FIC London Hotel (Private) Limited. (Nota editor: Dibaca sebagai "BVI FLH" untuk kejelasan.)

Rafizi mendakwa bahawa BVI FLH tidak dimiliki oleh FIC atau Felda.

FIC, bersama pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad dan Razali menafikan perkara itu pada sidang akhbar semalam, dengan mengatakan bahawa ia memiliki FLH.

Bagaimanapun, Rafizi mendakwa FLH yang disebut oleh Felda semalam hanya didaftarkan di BVI pada hari yang sama beliau membuat pendedahan mengenai BVI FLH.

Beliau mendakwa laporan media oleh The Sun dan Sinar Harian memetik Razali sebagai berkata bahawa FLH (Nota editor: Dirujuk sebagai "Felda FLH" untuk kejelasan) telah didaftarkan di BVI pada 13 Oktober 2017.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa pengurusan Felda hanya menyedari bahawa ia tidak memiliki BVI FLH dan Grand Plaza Kensington Hotel apabila beliau mendedahkan perkara itu.

"Mereka (atau pihak menteri) membuat semakan dan membuat keputusan untuk menubuhkan satu lagi syarikat di BVI yang namanya sama dan dimiliki sepenuhnya oleh Felda," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa inilah sebabnya Razali dan Shahrir menunggu sembilan hari untuk Felda FLH ditubuhkan sepenuhnya sebelum mereka dapat memberikan respons terhadap tuduhannya.

Rafizi berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu esok.

Naib Presiden PKR mendakwa oleh kerana Felda tidak mengawal BVI FLH, RM330 juta yang dilaburkan di Hotel Grand Plaza Kensington mungkin telah diselwengkan sepenuhnya.

Semasa dihubungi, Razali memberitahu Malaysiakini bahawa "tiada syarikat didaftarkan pada 13 Oktober 2017.

Tambah beliau, tarikh 13 Oktober yang dipaparkan pada dokumen pendaftaran syarikat berkenaan, adalah tarikh di mana salinan dokumen itu disahkan.

Razali juga berkata tiada tarikh pendaftaran disebut dalam sidang akhbar semalam.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS